"Kau orang semua memang bodoh!" Jerkah Tok Ampoo.

"Saya bodoh tok," kata Tok Kipas sambil mengipas-ngipas Tok Ampoo.

"Saya lagi bodoh tok," sampuk Tok Picit.

Baris dialog Tok Picit itu mengundang seloroh dan dekah khalayak penonton. Tok Picit, Tok Kipas dan Tok Ampoo adalah barisan watak utama persembahan teater Tok Ampoo. Bagi yang pernah menyaksikan teater arahan Hishamuddin Rais dan terbitan Zunar ini, pasti tak akan dapat melupakan aksi-aksi lucu produksi Teater Bukan Teater. Kelucuan aktor dan sindiran sinis dalam dialog mengundang tawa sebuah kenang-kenangan dari sebuah krisis politik.

Watak Tok Picit merupakan lakonan Gafor Abdul Rajul, waktu itu mahasiswa jurusan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malang mengundang, maut menjemput dan ajal tak siapa menduga.

Pada petang Selasa 23 September 2003 yang lalu, Gafor sedang memandu kereta Wira Aeroback dalam perjalanan menuju ke Tawau dari Lahad Datu. Kemudian sekitar jam 4.20 petang, di kilometer 25 jalan tersebut, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux tiba-tiba hilang kawalan, terbabas ke arah kanan jalan dan bertembung dengan kenderaan Gafor.

Secepatnya tanpa pesan di usia semuda 25 tahun, dia menghembuskan nafas terakhirnya pulang ke Rahmatullah. Dia cedera parah di bahagian kepala dan patah kedua-dua bahagian pehanya.. Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lahad Datu mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan tubuhnya yang tersepit dalam kereta. Sekujur tubuh berlumur darah dan tak bernyawa lagi.

Setelah tamat pengajian Sarjana Muda Undang-undang di UKM, Allahyarham Gafor memulakan kerjaya perundangannya dengan latihan praktikal di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur.

Kemudian dia bertugas sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau pada April 2003 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Majistret pada 1 Julai lalu. Gafor dalam masa yang sama juga sedang menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana Undang-undang.

Siapa sangka bekas Majistret Mahkamah Rendah Kelas 1 Tawau itu juga sebenarnya bekas pelakon utama Teater Tok Ampoo.

Berasal dari daerah Kudat, Kota Kinabalu, Allahyarham Gafor sememangnya seorang penggiat aktif Kelab Teater Rimba, waktu menuntut di UKM. Teater 'Patung-patung' lakonannya menyandang Johan Pekan Teater Kebangsaan 2001.

Gafor sepanjang teater Tok Ampoo berkeliling di pentas pembangkang dan NGO merupakan seorang yang periang, tak banyak bermasalah serta mudah dibawa berunding. Gafor juga seorang yang menghargai persahabatan, menghormati perbezaan dan bersikap terbuka. Dia warak beribadah, insan yang taat dalam kehidupan beragama.

Bila dia gembira, kepada kawan-kawan sering dia menyebut berkali-kali, " Ya Allah aku sayang korang, aku happy sangat." Suaranya masih terngiang-ngiang, bermacam rasa bergaul antara tawa tangis dan sedih suka.

Dan dia tak pernah marah masam mencuka.. Tapi terlalu cepat takdir memanggilnya. Terlalu sayang tuhan padanya. Jasadnya kini bersemadi di kampung halamannya di Likas.

"Mati harimau meninggal belang, mati manusia meninggal nama." Sumbangan dan jasanya adalah keabadian sejarah sebuah bangsa. Mengenalinya ingatan tak terlupakan.

Allahyarham Gafor Abdul Rajul, 25 tahun dalam kenangan (25 November 1978 23 September 2003), 25 tahun penuh makna sejuklah perut ibu mengandung. Tafakur Al-Fatihah.

[Balasungkawa bolehlah dihantarkan ke alamat: No 1, Lot 94, Lorong 4, Jalan Haiwan, Taman Kemajuan Likas, 88400, Kota Kinabalu, Sabah. Sumbangan ikhlas sila masukkan ke akaun Maybank bernombor 114123604404 di atas nama kakak Allahyarham - Puan Miff Tahol Jannah Abdul Rajul.]