Pengendali Umno-Reform dicabar tampil ke depan
Saya sangat terkilan dengan penulisan Nash Rahman yang menceduk bulat-bulat tanggapan pelayar dan pengarang laman web Umno-Reform mengenai Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein Onn, yang dituduh tidak berwawasan.
"Pendedahan" Umno-Reform itu bukanlah baru, malah hanya merupakan sambungan kepada surat-surat layang, fitnah dan tohmahan yang menjadi tradisi sesetengah golongan apabila muncul musim pemilihan parti.
Yang menyedihkan, malaysiakini , yang kononnya akhbar bebas dan berkecuali, mengambil khabar angin sebuah laman tidak berwajah dan tidak bernama, yang langsung tidak berani tampil ke hadapan, lantas juga tidak mempunyai kredibiliti walau sebesar butir pasir sekalipun.
Siapakah pengendali dan pengurus laman itu? Adakah mereka manusia, hantu atau jembalang? Apakah fahaman politik mereka? Parti mana yang mereka anggotai? Puak mana yang mereka puja? Siapa pemimpin mereka? Siapa dalang yang membiayai mereka?
Malaysiakini
tidak harus hentam keromo dan mencedok penulisan mereka tanpa usul periksa. Kesemua artikel dalam Umno-Reform menggunakan nama samaran. Siapa Saiful Idham atau Rais Yassin? Mungkinkah mereka anggota parti pembangkang yang mahu menimbulkan huru-hara dalam Umno? Kalau berani, keluarlah dan berdepan.Sebenarnya, saya sebagai ahli Pemuda Umno, sangat was-was dengan laman Umno-Reform. Kata malaysiakini , ianya "pro Umno", tetapi tulisannya lebih banyak tentang Pemuda Keadilan, khususnya dua puak yang bertelagah di dalamnya iaitu puak Ketua Pemuda Ezam Mohd Noor dan puak bekas Timbalan Ketua Pemuda Saifuddin Nasution.
Rata-rata, tulisannya sangat "pro-Anwar", begitu juga coraknya yang seakan-akan dikelolakan oleh reformis jalanan dan bukannya oleh orang Umno. Laman-laman Umno seperti KMU (Kumpulan Menyokong Umno) sangat profesional, sedangkan Umno-Reform adalah laman "guerila" yang tidak bertuan.
Pihak media, khususnya malaysiakini , tidak harus menggunakan sumber daripada laman yang dangkal seperti Umno-Reform. Seharusnya, sumber-sumber malaysiakini lebih berwibawa dan tampil ke hadapan. Atau mungkinkah tuduhan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama ini benar, iaitu malaysiakini punya agenda politik yang tersendiri dan tersembunyi?
Kita perlu melihat fakta: semenjak Hishammuddin menjadi ketua pemuda Umno, gejala rasuah sebelum ini, sudah terhapus. Pemuda sudah "masuk ke kampung" dan berjaya menarik ribuan profesional dan graduan.
Memanglah Hishammuddin tidak 100 peratus berjaya, tetapi berilah penghargaan atas kejayaan-kejayaan beliau yang memutik sejak beberapa tahun yang lampau. Ketrampilan beliau tidak perlu jadi persoalan. Yang penting isi lazat, walaupun kulit menggerutu dan berduri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.