Kelab PAS belum diperlukan buat masa ini
Tidak berapa lama dahulu, Hafiza Ahmad telah menulis dalam ruangan surat pembaca mengenai Kelab PAS UK. Beliau bertanya kenapa Kelab PAS tersebut masih belum dilancarkan sehingga sekarang walaupun pengumuman mengenainya telah lama dibuat.
Saya sebenarnya amat bimbang dengan idea pelancaran Kelab PAS ini. Jika ianya dibuat dalam waktu terdekat, maka ia seolah-olah satu percubaan memprovokasi pihak Umno agar mengambil tindakan terhadap para pelajar.
Hafiza dan para pemimpin PAS sendiri, perlu memahami realiti gerakan reformasi di United Kingdom dan Ireland. Walaupun pergerakan ini semakin lemah akibat tekanan Umno dan Barisan Nasional, namun semangat reformasi tersebut masih kental di jiwa kami.
Simpati yang diterima oleh gerakan reformasi juga meningkat berkali ganda hasil tekanan melalui Jabatan Penuntut Malaysia London.
Sekiranya Hafiza dan para pemimpin PAS mahukan agar para pelajar di UK dan Ireland lebih rapat dengan Islam, maka saya ingin menyatakan bahawa penubuhan Kelab PAS sekarang tidak akan membantu dalam penyebaran dakwah Islam.
Malahan, ia akan hanya menyusahkan usaha penyebaran mesej Islam kerana Jabatan Penuntut Malaysia akan semakin menggila dan tekanan mereka akan meningkat berkali ganda.
Cuba kita lihat perkembangan terbaru. Kelab Umno sendiri yang telah banyak berpecah di UK. Kelab Umno Newcastle sedang ribut dengan dakwaan penyelewengan wang ribuan pound sterling oleh pemimpin tertinggi kelab mereka.
Kelab Umno Edinburgh juga sedang riuh membincangkan dakwaan penyelewengan wang kelab.
Kelab Umno Lancaster sedang bimbang kerana tiadanya pengganti dalam barisan kepimpinannya.
Manakala Kelab Umno Southampton pula sedang cuba berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam. Malahan, mereka terpaksa cuba mempergunakan Jabatan Penuntut Malaysia dalam perlumbaan "siapa lebih Islam" ini, dengan cara meminta JPM mengeluarkan tauliah kepada pelajar yang mahu mengendalikan usrah-usrah.
Ini semuanya menunjukkan bahawa walaupun Hizbi yang telah diharamkan, mungkin tidak lagi wujud di UK. Namun Kelab PAS masih tidak diperlukan lagi. Janganlah kita mengkucar-kacirkan keadaan yang sedang aman tenteram di UK ini dengan provokasi yang tidak menentu.
Penubuhan Kelab PAS hanya patut dibuat apabila pendokong PAS yang benar-benar bersedia untuk menerima akibat daripada penubuhannya. Tunggulah beberapa lama lagi dan sudah pasti masa yang terbaik akan tiba juga.

