Tindakan Polis Ampang Jaya didakwa jejas imej PAS
Tujuan surat ini adalah untuk melaporkan tindakan pihak polis di Kampung Pandan yang mencabuli hak kami sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dan ahli-ahli kami sebagai rakyat Malaysia.
Pada 11 Oktober lepas, pihak polis telah melakukan satu provokasi terhadap majlis penerangan kami. Majlis tersebut telah diadakan dari jam 9.30 malam hingga 12 tengah-malam di dalam kawasan pejabat kami di No. 20, Jalan Pandan Mewah (Jalan H), Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Tempat di mana pencabulan hak itu berlaku adalah di bawah bidangkuasa Polis Daerah Ampang Jaya, di mana ACP Azmi Hashim merupakan Ketua Polis Daerah (KPD). Perkara-perkara berikut telah dilakukan oleh pihak polis:
- Mengadakan dua sekatan jalanraya di kedua-dua hujung Jalan H, dari jam 6.45 petang hingga 12 tengah-malam.
Tindakan pihak polis itu telah mengakibatkan beberapa perkara:
- Menakut-nakutkan mereka yang hendak menghadiri majlis penerangan kami.
Tindakan pihak polis ini jelas telah mencabuli hak kami sebagai sebuah parti politik dan hak ahli kami sebagai rakyat Malaysia.
Tetapi yang paling serius, tindakan pihak polis itu berupaya memberi keuntungan kepada parti-parti lawan kami seperti Umno dan Barisan Nasional (BN), iaitu menghalang orang datang ke majlis kami dan memberi imej buruk terhadap kami.
Oleh itu, kami berharap agar siasatan dibuat sama ada pihak tertentu yang memaksa pihak polis Ampang Jaya untuk mengagalkan program-program PAS.
Kami yakin siasatan ini amat perlu kerana pada 1 Oktober lalu, Ketua Perhubungan Umno Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo telah mengadakan satu rapat umum di padang awam Taman Kosas tanpa dihalang oleh pihak polis Ampang Jaya.
Berdasarkan bendera dan kain rentang yang dipasang, program tersebut telah dianjurkan di atas nama Umno dan BN. Ianya bukan program rasmi kerajaan negeri.
Sikap "double-standard" yang diamalkan pihak polis disedari masyarakat Ampang Jaya dan sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan maruah dan kredibilti pihak polis Ampang Jaya.
Oleh itu, tindakan pihak Suhakam dapat memastikan semangat demokrasi dihormati dan setiap rakyat Malaysia menikmati hak yang sama, tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
Aduan terhadap polis di Ampang Jaya pernah diserahkan oleh pihak PAS pada tahun 2002 tetapi sehingga ini, belum ada lagi makluman tentang siasatan ke atas aduan tersebut. Dengan itu kami berharap, kali ini pihak Suhakam akan lebih bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tugasnya.

