Saya merujuk kepada surat Abuwahida mengenai hudud dan hak beliau sebagai seorang Islam yang ingin hidup di bawah hukum hudud.
Sebagai seorang bukan Islam, saya rasa, saya dan juga bukan Islam yang lain, tidak berniat atau berupaya menyekat orang Islam dalam apa segi hidup pun kerana kami di sini adalah golongan minoriti.
Sebagai anggota masyarakat minoriti, saya cuma khuatir kalau hukum hudud nanti akan menjejaskan hak kami, bukan Islam. Andainya berlaku sesuatu kesalahan yang melibatkan kami dan orang Islam, apakah undang-undang yang akan mengadili kami?
Umpamanya, sekiranya berlaku satu kes rogol - perogolnya beragama Islam dan mangsanya bukan Islam - perogol diadili mengikut hukum hudud dan si mangsa tidak boleh atau tidak berupaya mengemukakan empat saksi yang mesti terdiri daripada orang dewasa beragama Islam!
Begitulah jugalah dengan banyak lagi kesalahan yang tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam berzina dengan seorang bukan Islam sehinggakan pihak perempuan mengandung. Apakah sekiranya yang mengandung itu Islam, maka ianya akan direjam batu sehingga mati. Bagaimana pula dengan teman lelakinya?
Saya amat berharap kesangsian saya ini dapat diperjelaskan dengan penuh ikhlas oleh mereka yang mendokong hasrat mengenakan hukum hudud di Malaysia.
