Dokumen Negara Islam gagal beri penjelasan bermakna
Para peminat politik tanah air, samada dari parti kerajaan mahu pun pembangkang menunggu-nunggu perisytiharan dokumen Negara Islam PAS dengan harapan mereka akan dapat melihat dan membaca secara terperinci apakah yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan PAS sekiranya mereka berkuasa di negara kita. Penungguan mereka terganggu apabila PAS mengubah tarikh pengumuman daripada awal Ramadhan kepada 17 Ramadhan.
Sesetengah pemerhati politik menyatakan dokumen itu sekadar angan-angan PAS, atas alasan bagaimanakah PAS ingin menjadi pemerintah sedangkan hakikatnya mereka bertanding pun 'tidak cukup kerusi' untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.
PAS hanya akan dapat memerintah sekiranya mendapat dokongan padu daripada Barisan Alternatif, satu gabungan longgar dan tidak rasmi antara PAS, dan Keadilan (PKR). Jadi, berhubung dengan Dokumen Negara Islam itu, sepatutnya menjadi Dokumen Negara Islam BA, supaya parti-parti gabungan BA tidak berkecil hati kerana dianggap tidak dirunding terlebih dahulu sebelum diisytiharkan.
Masalahnya, pakatannya iaitu Keadilan adalah parti pelbagai kaum, yang sudah pasti fobia dengan negara Islam ala-PAS, manakala PRM masih memperjuangkan fahaman sosialis. Sejarah pernah merekodkan parti sosialis ini pernah dikecam oleh ABIM sewaktu Anwar Ibrahim menjadi presidennya pada tahun-tahun 70-an dulu.
Apabila dokumen setebal 31 muka surat itu didedahkan laman web malaysiakini sebahagian kejutan kepada 'bakal' penyokong PAS menjelang 17 Ramadhan nanti sudah hilang. Malah, sebagaimana laporan malaysiakini , seorang orang kuat PAS telah menyarankan supaya perisytiharan 17 Ramadhan itu ditarik balik kerana didakwa lebih banyak membawa kekeliruan berbanding hasrat awal untuk memberikan penjelasan.
Ini kerana isi dokumen tersebut hanya mengulang-ulang cerita lama memorandum negara Islam PAS zaman Allahyarham Fadzil Noor dengan sedikit tambahan di sana sini. Dan, lebih malang apabila dokumen itu dirancang dan ditulis oleh Dewan Ulama PAS, yang penuh berisi ayat-ayat Quran dan Hadis.
Nampaknya, menurut orang kuat PAS itu, pemimpin PAS masih gagal memahami strategi dan reality pilihan raya di negara ini, sedangkan sebahagian hasrat dokumen itu dikemukakan bertujuan untuk menawan hati pengundi bukan Islam. Mudahnya, dokumen itu tidak akan dibaca dan ditelan dengan mudah oleh orang-orang di luar parti PAS, seolah-olah dokumen dibuat untuk ahli parti PAS sahaja.
Walaupun dalam berita susulan oleh malaysiakini , menyatakan dokumen ini pun hanyalah suatu penjelasan awal, nampaknya idea ini sukar diterima kerana gambaran awal yang diberi oleh PAS sangat berlainan.
Kalaulah begitu, 7 perkara yang dibentangkan Allahyarham Fadil Noor dahulu sudah mencukupi. Nampaknya PAS sedar tentang hal ini, tetapi mereka gagal menghuraikan asek pelaksanaan dan teknikal sebagaimana yang diharapkan oleh orang ramai.
Masalah utama PAS sebagai sebuah parti retorik juga tidak dapat dielakkan - ia menjelma lagi dalam dokumen ini. Harapan pemerhati dan masyarakat menjadi hambar apabila tidak ada langsung aspek tindakan, manual tindakan, prosedur kerja dan sebagainya yang bakal diambil oleh PAS sekiranya menjadi pemerintah dalam dokumen itu.
Apakah dasar dan tindakan PAS terhadap aktiviti kebudayaan misalnya. Apakah sepertimana soalan seorang rakan bukan Islam; nyanyian artis sesopan Siti Nurhaliza akan diharamkan, ataupun pusat perjudian akan ditutup, bagaimana dengan tayangan filem Barat di pawagam dan televisyen? Apakah mereka boleh meraikan kebudayaan mereka ataupun bagaimana dengan isu-isu wanita yang selama ini kelihatan diperkecilkan PAS? Semua perkara inilah yang sepatutnya ada dalam dokumen itu, sekiranya PAS ingin kelihatan jujur kepada bakal pengundinya.
Mereka tidak mahu tindakan-tindakan 'kurang cerdik' PAS seperti mengasingkan kaunter di pasaraya diperluaskan di peringkat negara kerana ternyata apa yang disangka peraturan agama itu adalah suatu yang salah. (Sebelum ini telah dibuktikan bahawa di Mekah sewaktu amalan Haji pun dibenarkan bercampur-gaul antara lelaki dan perempuan, jadi tiada salahnya amalan tersebut dibenarkan di pasaraya).
PAS masih lagi bermain dalam kotak generalisasi, contohnya berpandukan al-Quran dan Hadis tetapi dalam masa yang sama memberikan jaminan akan dikekalkan Perlembagaan Negara. Soalnya, Perlembagaan Negara seperti Malaysia pun tidak ada dalam Quran dan Hadis. Yang ada adalah Perlembagaan Negara Madinah yang ternyata tidak menyebut pun Madinah adalah negara Islam.
Ceritanya akan menjadi lebih panjang sekiranya diusik mengenai strategi dua aras PAS, satunya undang-undang Islam untuk kawasan majoriti Melayu dan satu lagi undang-undang 'sekular' untuk majority yang seimbang. Nampaknya, PAS langsung tidak mengusik soal strategi dua aras ini dalam dokumen negara Islam tersebut. Ataupun, dokumen itu pun hanyalah untuk negeri-negeri pantai Timur dan Utara Semenanjung sahaja.
Sebelum ini, ramai yang menjangkakan antara isi utama yang bakal dimuatkan dalam dokumen Negara Islam PAS itu pastilah campuran antara keinginan PAS menarik perhatian pengundi atas pagar Melayu, serta meliberalkan pegangan parti untuk menarik sokongan bukan Melayu.
Inilah sasaran PAS selama ini yang dianggap mereka sebagai 'kubu' yang belum dapat ditembusi. Namun, PAS nampaknya masih terlalu sayang kepada pengundi Melayu luar bandar, di kawasan majoriti Melayu. PAS terperangkap antara kehendak ingin kelihatan lebih liberal dengan janji-janji kepada pengundi akar umbi mereka selama ini.
Dokumen yang mengandungi enam bahagian itu mengupas mengenai dasar dan ciri utama pemerintahan Islam. Antaranya mengenai hak dan kebajikan orang bukan Islam, konsep kebebasan bersuara, peraturan negara, permesyuaratan dan kedaulatan negara. Menariknya kerana tidak ada suatu pun yang berbeza dengan apa yang dijamin dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang didokong kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.
Bezanya, sementara dasar-dasar dalam dokumen itu masih tersimpan rapi sebagai dokumen yang entah bila akan dilaksana, ataupun entah terlaksana ataupun tidak, dasar-dasar yang 'ditiru' PAS itu telah lama dijalankan oleh kerajaan BN. Sebagai contoh, soal kebajikan dan hak bukan Islam, kenyataannya lebih 60 peratus aset negara Malaysia berada di tangan bukan Islam. Kebudayaan kaum Cina dan India bukan sahaja tidak dilarang tetapi juga turut diraikan secara bersama-sama oleh orang Melayu-Islam di negara ini.
Mengenai hak wanita pula, dokumen PAS pun tidak akan memberi peluang sehingga lebih 70 peratus berada di universiti, ataupun jawatan utama di sektor awam dan swasta dipenuhi wanita Malaysia yang bijaksana.
Bezanya, dasar kerajaan BN yang boleh dilihat, dirasa, dinikmati malahan dikritik ini adalah satu realiti yang sudah dialami rakyat berpuluh-puluh tahun, bukan lagi dalam bentuk konsep ataupun dokumen yang belum pasti bererti kepada mereka. Kalaupun ingin juga disebutkan, mungkin bezanya hanyalah BN yang diketuai oleh Umno tidak menggunakan ayat Quran, Hadis ataupun bahasa Arab dalam pernyataan dasar-dasarnya. Bukannya Umno tidak pandai, tetapi Umno tidak ingin menipu rakyat dengan menggunakan istilah bombastic yang susah disebut tetapi isi dan maknanya kosong.
Akhirnya, mungkin elok disebutkan bahawa hasrat dokumen tersebut iaitu 'untuk memastikan pembangunan yang positif, dasar-dasar sesebuah negara Islam mestilah bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam, dan diketuai oleh seorang yang alim serta mengutamakan keamanan' ( malaysiakini ) telah terlaksana apabila Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, seorang cucu ulama dan berkelulusan Ijazah Pengajian Islam dilantik sebagai Perdana Menteri kelima baru-baru ini. Ironinya, hasrat dokumen tersebut telah disempurnakan dengan pelantikan Pak Lah menerajui negara.

