Di mana Dokumen Negara Islam Umno?
Apabila Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, tidak banyak tentangan atau bantahan yang diterima, terutama dari parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, pihak media massa lebih banyak menunjukkan persetujuan mereka terhadap pengisytiharan tersebut. Hari ini, kita melihat bagaimana penentangan terhadap Negara Islam PAS begitu ditonjolkan, terutama oleh media arus perdana.
Ini menimbulkan persoalan kepada saya. Bagaimanakah kita boleh menerima Negara Islam Umno, tanpa melihat atau mengetahui hujung pangkalnya? Dan bagaimanakah kita boleh menentang Negara Islam PAS, tanpa mendengar penjelasannya?
Saya berharap selepas ini Umno dapat mengeluarkan Dokumen Negara Islamnya supaya dapat dibuat perbandingan sebelum kita membuat keputusan yang mana satu boleh diterima.
Saya percaya, MCA, MIC dan PPP tidak akan menentang Negara Islam Umno. (Presiden Gerakan) Dr Lim Keng Yaik pasti gembira kerana pengisytiharan Malaysia sebuah Negara Islam dibuat oleh Dr Mahathir dalam konvensyen parti Gerakan.
Seperkara lagi yang menjadi kehairanan saya ialah mengapa tiada reaksi langsung daripada mufti negeri-negeri. Apakah mereka sudah terjerat di antara hukum yang mereka percaya tetapi tidak berani bersuara ataupun pangkat dan jawatan lebih penting dari prinsip dan kebenaran?

