13 pelajar mangsa sepak terajang dalaman Umno?
Mungkinkah penahanan 13 pelajar yang baru pulang dari Pakistan baru-baru ini merupakan sebahagian dari aksi sepak terajang politik dalaman Umno.
Saya mengandaikan sedemikian kerana semua orang tahu, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) bukanlah pemimpin Umno yang mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi. Dalam hal ini, ramai yang berpendapat bahawa sokongan kepada Najib Razak adalah lebih mantap.
Bukankah undi Najib lebih tinggi daripada yang diperolehi Pak Lah dalam pemilihan naib presiden Umno? Oleh itu, Pak Lah tidak ada pilihan selain daripada menunjukkan beliau adalah yang paling hebat sekarang ini.
Mula-mulanya, sepertimana Dr Mahathir Mohamad, Pak Lah telah memusatkan kuasa disekelilingnya dengan memegang dua kementerian penting iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian Kewangan dapat menentukan kementerian mana dapat apa, manakala Kementerian Dalam Negeri mengawal polis dan juga mempunyai kuasa menahan di bawah ISA.
Mungkin 'kempen media' yang dijalankan sejak Pak Lah mengambilalih kuasa tidak begitu berkesan. Beliau masih kelihatan lemah walaupun sudah berkali-kali diulanginya kata-kata "kerja bersama saya bukan untuk saya".
Mungkin tindakan ke atas 13 pelajar berkenaan bertujuan untuk menunjukkan yang Pak Lah adalah seorang pemimpin yang tegas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.