Dr Fong bimbang kehilangan perkongsian kuasa ataupun harta?
Perbincangan mengenai Negara Islam PAS menjadi topik hangat semenjak PAS melancarkan Dokumen Negara Islam pada 12 November lalu.
Namun, dari gaya perbahasannnya, ianya seolah-olah melambangkan betapa hiruk-pikuknya cara berfikir sesetangah pihak dalam menangani isu ini.
Umno, seperti yang dijangka, menjadi juara dalam "menyerang" idea yang didakwanya sebagai "hukum" PAS, diikuti oleh sekutunya dari MCA, Gerakan, dan lain-lainnya.
Yang menjadi persoalan ialah bagaimana suara-suara sumbang yang mengenengahkan idea menghasut - supaya rakyat yang telah memilih kerajaan Terengganu dan Kelantan secara demokrasi - untuk bangun membantahnya.
Jika apa yang diungkapkan oleh (naib presiden MCA) Dr Fong Chan Onn (menyeru rakyat bukan Islam di Kelantan dan Terangganu membuat bantahan), keluar dari mulut mana-mana pemimpin parti pembangkang, sudah tentu akta Hasutan akan digunakan ke atas mereka.
Dr Fong juga merumuskan bahawa pengenalan konsep Negara Islam akan menyebabkan hilangnya perkongsian kuasa, walhal presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah memberi jaminan bahawa kaum bukan Islam tetap mempunyai peranan dalam membentuk dasar negara.
Maka, sudah tiba masanya rakyat Malaysia kembali kepada kewarasan dalam membincangkan persoalan Negara Islam.
Mungkin Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan yang membina di dalam hal ini, setidak-tidaknya "mententeramkan" keresahan umat Islam dan bukan Islam.
Kebimbangan orang seperti Dr. Fong harus ditangani. Mungkin apa yang dibimbangi oleh Dr Fong ialah hilangnya perkongsian 'harta', hasil daripada perkongsian 'kuasa'...

