Islam sebagai cara penyelesaian masalah politik di Malaysia
Akhir-akhir ini saya melihat malaysiakini menjadi medan hentaman terhadap polisi bumiputra dan bukan bumiputra yang telah diamalkan sejak sekian lama. Saya mengakui terdapat kepincangan dari segi keadilan dan kemanusian sekiranya dilihat dari suatu sudut dan saya tidak pun berminat untuk membicara untuk menyokong atau menentangnya dalam forum ini.
Saya ingin bertanya tuan-tuan pembaca budiman, sama ada anda sedar bahawa orang Melayu dan bumiputra sendiri sering mengalami diskriminasi oleh bukan bumiputra?
Saya ingin menyorot pertanyaan ini memandangkan bukan bumiputra yang menulis dalam malaysiakini sering memberikan contoh rasisme oleh golongan rakan mereka dari bangsa Melayu sama ada individu atau kumpulan seperti kerajaan.
Tetapi sedarkah anda bahawa kami juga pernah menerima layanan berbau rasis baik semasa memohon kerja di syarikat swasta, atau semasa bekerja di syarikat bukan Melayu - dari segi gajinya, layanannya, politikingnya, dan entah bila senarainya akan habis.
Semua cerita ini bukan asing dari telinga orang Melayu. Cuma pada awalnya, saya rasa tidak manis untuk diungkitkan tanpa berhati-hati di dalam forum yang matlamat akhirnya untuk mempereratkan perpaduan sesama kita rakyat Malaysia dalam kematangan berforum.
Saya tidak mengatakan semua bukan Melayu bersikap demikian. Saya berharap pembaca malaysiakini yang budiman, menilai kembali diri masing-masing. Kita mungkin tidak bersetuju dengan rasisme, tetapi janganlah rakan-rakan dari bukan Melayu mendabik atau 'memukul' dada bahawa merekalah satu-satunya mangsa, merekalah yang tertindas akibat rasisme terhormat ini.
Saya memilih Islam dan ramai orang Melayu yang berminat pada Islam, sebagai cara penyelesaian masalah politik di Malaysia, sama ada demi untuk melunaskan tuntuan demokrasi atau Islamiknya.
Ini terbukti dengan bertambahnya pengaruh PAS dalam politik negara ini. Malangnya, kita lihat dalam forum di malaysiakini , masih ramai membuat kesilapan serupa, dan berulangkali, seolah-olah mereka tidak pernah membaca e-mail atau penjelasan dari advokat undang-undang Islam yang telahpun berbuih-buih memperjelaskannya, dalam kiriman mereka yang lepas.
Bukan sahaja dari bukan Islam tetapi juga dari orang Islam sendiri! Contohnya tulisan mengenai DNA dan empat saksi. Jangan mengkritik kalau tidak tahu! Tidak tahu bertanyalah, berbincanglah, bermuzakarahlah.
Lebih menyedihkan lagi, ada yang terus menghamburkan kenyataan keras seperti mata kucing. Sesiapa yang tidak puas hati kehadapanlah mengutarakan pertanyaan, berdebat untuk mencari kebenaran, bukan melempar batu sembunyi tangan!
Perlu diingat kebenaran yang dicari bukan dilihat untuk mempromosikan PAS, tetapi sebagai memahami Islam itu sendiri berdasarkan al-Quran dan Hadis. Saya bersetuju bahawa kecelaruan pemahaman terhadap sistem pemerintahan Islam yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah - tidak kira siapa pun pembawa panji-panjinya - dicetuskan oleh orang Islam sendiri.
Akhir sekali kepada bukan Islam, bukan Melayu, apa yang kami (advokat pemerintahan Islam ) minta ialah fahamilah dan hormatilah kehendak kami untuk bebas mengamalkan Islam, termasuk undang-undang Islam itu sendiri.
Sekiranya kita asyik menyenaraikan kebejatan dan kegagalan dasar bumiputra , bukan bumiputra , soal warga kelas kedua, sampai bila kita hendak mencari penyelesaian ke arah mewujudkan bangsa Malaysia yang bebas daripada fahaman rasisme?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.