Saya bersetuju dengan tulisan seorang pembaca malaysiakini mengenai ugutan Dollah Kok Lanas (DKL) kepada Pak Lah agar melantik Datuk Seri Najib Razak, sebagai cubaan merendahkan martabat perdana menteri.

DKL terang-terangan mendedahkan kelemahan dalaman Umno yang belum pasti benar atau tidaknya, dalam media kawalan beliau, iaitu New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH).

Sekiranya rekod DKL diteliti, beliau bukanlah seorang peminat Najib tetapi hanyalah seorang yang suka mengambil kesempatan di atas setiap tokoh yang dilihat akan naik. Beliau juga seorang yang syok sendiri dalam setiap tulisan di kolumnya.

Ekoran ugutan DKL kepada Pak Lah itu, ramai pembaca yang percaya cerita Najib yang disiarkan berlebih-lebihan dalam BH , NST serta Utusan Malaysia (UM).

Sebenarnya, bebannya pada Najib. Beliau perlu menjelaskan perkara itu bagi membersihkan namanya. Pak Lah - sepertimana kenyataan sebelum ini - beliau akan melantik orang yang sesuai dan tidak perlu dilobi berlebihan siapakah tokoh yang layak.

Memang sekarang sudah ada tanda-tanda bahawa Pak Lah akan melantik Najib tetapi bukanlah tanda-tanda itu lahir daripada media. Pelbagai tanda-tanda lagi boleh wujud selain daripada apa yang dimainkan di media.

Bayangkan , sekiranya Pak Lah sudah sedia ingin melantik Najib, tiba-tiba disebabkan oleh ugutan DKL itu, Pak Lah jadi berfikir banyak kali lalu menangguhkan dahulu perlantikan TPM.

Yang serba salah sekarang adalah Najib, sama ada perlu memberi penjelasan ataupun tidak. Jika tidak, Najib akan dianggap seorang desperado dalam merebut jawatan TPM. Pak Lah tidak langsung merasa serba-salah dan tidak perlu berbuat apa-apa, kerana terpulang kepadanyalah mahu melantik siapa sebagai TPM.


Nota pengarang: Abdullah telah dipecat semalam.