Bukan hanya bukan Islam yang tidak bersetuju
Dalam berbincang mengenai Negara Islam, malah dalam apa isu sekalipun, pendokong dan penyokong PAS seringkali menghamburkan pelbagai panggilan dan istilah terhadap pihak yang satu lagi.
Begitulah saya melihat Min Num dalam menjawab hujahan Azizi Aziz (surat pembaca di malaysiakini ). Beliau mulakan dengan melabelkan Azizi sebagai tidak jujur. Sesungguhnya itulah modus operandi pengikut PAS sejak dahulu.
Label seperti "tidak jelas", "tidak syar'ie", malah sebagai "munafik", "cuba mendirikan Masjid Dirar" dan "cuba membersih tong taik dari dalam" adalah istilah dan gelaran biasa yang dihamburkan, khususnya, terhadap para pendokong Islam yang tidak mengikut jalan PAS.
Paling teruk menerima kritikan (dan malah kutukan) ialah mereka yang memilih untuk mengikut jalan Anwar Ibrahim dan bergiat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Mengapa gerakan Islam, yang umumnya dilihat sebagai lebih sederhana, menjadi sasaran utama PAS (selain Yahudi)?
Saya melihat PAS menjadi tidak senang dan bimbang dengan mana-mana gerakan Islam yang mampu mengemukakan jalan yang berbeza, yang sederhana dan dapat diterima umum dalam mendekati Islam. Pada mereka, ini adalah saingan yang mesti diperlekehkan, sebelum jalan sederhana ini diterima ramai dan menjadi arus dominan.
Sepertimana kebanyakan penganut Islam, saya sedar mengenai kewajipan untuk melaksanakan perintah Allah, termasuk dalam hal bernegara dan berpolitik. Namun saya masih tidak dapat bersetuju dengan jalan yang dipilih PAS untuk mengenengahkan pendirian dan falsafah perjuangan mereka dalam hal "Negara Islam".
Sejak 10 tahun lalu, saya tidak bersetuju dan hari ini juga saya tidak bersetuju dengan pendekatan mereka. Namun apakah ini bermakna saya tidak jelas (keislaman saya); atau saya terus sahaja dijatuhkan hukum sebagai munafik? (Saya sudah pernah dihukum begitu oleh teman-teman yang setia kepada PAS semasa saya di pusat pengajian tinggi).
Kesungguhan kita berhujah dengan pendokong PAS menjadi bukti betapa kita jujur dan ikhlas dalam soal Islam. Kita tetap tekun dan bersungguh-sungguh mengemukakan pandangan sekalipun dijawab dengan label dan kutukan.
PAS harus sedar mereka bukan sahaja berbeza pandangan dengan masyarakat bukan Islam (yang dengan mudah dianggap mereka sebagai memusuhi Islam), tetapi juga ramai penganut Islam yang taat kepada perintah al-Quran dan Rasul juga tidak bersetuju dengan cara PAS dalam konteks negara Islam dan Hudud ini.
Melabel mereka yang menentang ini sebagai munafik (dan memusuhi Islam) tidak akan membawa sebarang perkembangan positif atau penyelesaian. PAS perlu sedar dan insaf bahawa kata-kata pemimpin mereka dan cara yang mereka pilih bukan ma'sum, bukan yang tertinggi. Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang paling tinggi dan tidak boleh dipertikaikan.
Draf Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (yang jawatankuasa penggubalnya diketuai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) telah dikritik oleh para ilmuan dan pakar. Kritikan ini berdasarkan ilmu (kita tidak membincangkan mengenai kritikan Dr Mahathir Mohamad), termasuk satu seminar anjuran Biro Agama Pemuda Umno yang ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Kamaruddin Jaaffar (sekarang Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dan Ahli Parlimen Tumpat).
Apakah kritikan, karya ilmiah dan kertas-kertas kerja yang dibentangkan ini mendapat perhatian serius daripada PAS?
Tidak lama lalu dalam satu seminar di Terengganu mengenai Hukum Hudud, naib presiden Keadilan Datuk Syeikh Azmi Ahmad (dahulunya Mufti, Ketua Hakim Syar'ie Wilayah Persekutuan dan Kadi) mengemukakan beberapa pandangan mengenai kelemahan dalam draf Terengganu.
(Saya tidak tahu apa yang hendak dijawab jika pandangan Syeikh Azmi juga dianggap tidak jujur dan tidak berdasarkan ilmu). Jawapan yang diberikan oleh pimpinan kerajaan Terengganu ialah sekadar, "kita akan mengkaji perkara tersebut".
Apakah ini sekadar pemanis mulut dalam menghadapi pandangan seorang pakar dalam undang-undang Syariah kerana Exco Terengganu yang memberi respon kepada beliau sendiri tidak mempunyai kepakaran dalam hal tersebut?
Siapa dalam PAS yang merupakan tenaga pakar dalam menggubal draf undang-undang jenayah dan Dokumen Negara Islam ini? Tuan Guru Abdul Hadi dan Harun Taib memang mempunyai imej dan (mungkin) pengetahuan Islam yang baik. Tetapi apakah mereka dan mana-mana tokoh PAS yang terlibat mempunyai pengalaman praktikal dalam pelaksanaan syariah?
Jika benar PAS menghormati dan memandang tinggi kepada ilmu, PAS perlu mengemukakan senarai penggubal dokumen-dokumen penting parti itu supaya dapat dinilai kekuatan ilmu di sebaliknya. Tokoh penting seperti Datuk Syeikh Azmi perlu dilibatkan sama. Apakah kerana beliau memilih jalan untuk bersama Keadilan, maka beliau disisihkan?
Saya juga bukan seorang alim dalam bidang syariah. Saya juga tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang Muslim yang baik atau sempurna. Saya seorang yang sangat lemah dan bersandar kepada kekuatan ilmu para ulama. Tetapi dalam hal undang-undang Islam dan Negara Islam ini, saya tidak bersetuju dengan PAS.
Pada pandangan saya, berdasarkan reaksi masyarakat setakat ini, banyak mudarat yang telah disebabkan oleh pelancaran dokumen tersebut. Bukan sekadar mudarat kepada Politik Baru dan pergerakan politik alternatif, malah kepada perkembangan Islam sendiri.
Dalam hal ini teringat saya kepada kata-kata Tuan Guru Abdul Hadi ketika kempen pilihanraya umum pada tahun 1995 di Desa Pandan - dalam sebuah Forum Hudud - yang kurang lebih bermaksud (setelah lapan tahun saya tidak ingat matannya): adalah lebih baik untuk menolak mudarat sebelum melakukan kebaikan. Ini adalah kebijaksanaan umum yang diajarkan kepada pendokong semua gerakan Islam.
Ini beliau ucapkan sebagai respon kepada pandangan seorang hadirin yang agak berumur yang berkata""Kita tolak Umno yang tidak mahu melaksanakan Islam. Kita tolak PAS yang tidak melaksanakan Islam."
Penyokong PAS itu kelihatan amat marah kerana setelah lima tahun, janji PAS untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan masih tidak terlaksana. Pandangan berani itu hampir menyebabkan beliau dibelasah teruk oleh hadirin jika tidak dihalang oleh pasukan keselamatan PAS yang mengusir beliau serta-merta.
Ini kejadian benar bagaimana perbezaan pendapat, hatta dari kalangan penyokong sendiri, tidak diterima baik oleh pendokong PAS. Betapa saya benar-benar merasa bimbang Islam tidak akan mungkin berkembang meluas seperti sekarang, jika Rasulullah dan para sahabat generasi terbaik Islam, memilih jalan seumpama jalan PAS dalam usaha mengembangkan Islam.

