Ada penerima wang ehsan miliki 'Mercedes lampu bulat'
Akhbar Utusan Malaysia Edisi Timur pada Jumaat 21 November mukasurat 21 mendakwa seramai 170,000 orang berpendapatan rendah di Terengganu menerima sumbangan hari raya melalui bantuan 'Dana Khas'. Adakah benar berita ini?
Dana Khas adalah nama kedua yang ditukar daripada 'wang ehsan' setelah kes 'rampasan' royalti petroleum Terengganu dibawa ke mahkamah. Sebagaimana wang ehsan, Dana Khas dikatakan adalah kaedah lain pengagihan 'royalti' minyak Terengganu kepada orang ramai, khususnya bagi membantu golongan miskin atau golongan berpendapatan rendah.
Timbul banyak keraguan berhubung pengagihan ini, walau dari sumber mana pun, wang itu melayang turun ke Terengganu. Siasatan harus dibuat oleh Badan iro Pencegah Rasuah (BPR) atau suruhanjaya bebas terhadap pengagihan wang ini kerana ianya adalah dari sumber kerajaan Malaysia, sama ada dari cukai orang ramai ataupun hasil negara daripada sumber hasil 'Petronas' seperti yang dinyatakan.
Selain sumbernya yang tidak jelas, pengagihan wang ini amat mengelirukan. Sejak dinamakan 'wang ehsan' lagi sehinggalah kepada dana khas, pengagihannya dibuat mengikut senarai yang disediakan oleh Umno, sedangkan kenyataan dibuat bahawa ia adalah peruntukan kerajaan pusat. Maka Jabatan atau agensi kerajaan pusatlah yang patut menyediakan senarai penerima wang tersebut.
Oleh yang demikian, banyak kedengaran desas-desus bahawa sebahagian wang tersebut telah hilang di tengah jalan sebelum sampai kepada penerima. Selain itu, memang jelas terdapat penyelewengan terhadap pengagihan wang tersebut.
Sebagaimana dakwaan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Idris Jusoh, bahawa pengagihan baru-baru ini adalah untuk golongan berpendapatan rendah, ternyata tidak benar sama sekali.
Di beberapa tempat, penerimanya terdiri daripada mereka yang berpendapatan RM1,000 sedangkan garis pendapatan rendah yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pendapatan keluarga di bawah RM460 sebulan. Amat malang, golongan yang benar-benar miskin tidak dimasukkan ke dalam senarai penerima, sekiranya mereka bukan ahli/penyokong Umno.
Pengagihan wang ini juga telah menjadi satu alat propaganda Umno dan ugutan kepada orang ramai di mana nama sesiapa yang menghadirkan diri di dalam majlis anjuran kerajaan negeri akan dipotong daripada senarai penerima.
Ada kes penerima wang ini yang memiliki 'Mercedes lampu bulat' dan ramai yang mempunyai rumah banglo serta melanggan Astro. Ini berlaku di semua daerah dan DUN dan sudah diketahui umum.
Mereka menyatakan tidak minta wang tersebut, bahkan mereka tahu tidak layak menerima. Tetapi sekiranya tidak menerima wang tersebut, nama mereka akan di 'senaraihitamkan' dan dianggap musuh oleh Umno cawangan. Kita tidak mahu mempertikaikan tentang agihan wang ini sekiranya ianya datang dari poket Umno sendiri ataupun hasil sumbangan syarikat-syarikat kroni.
Tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita rasa ianya satu kerugian kerana matlamat sebenar untuk membangunkan luar bandar tidak dapat dicapai sekiranya bantuan dana khas hari raya yang berjumlah RM51 juta itu, dibazirkan hanya kerana mahu memenuhi hasrat Umno bagi menawan semula Terengganu.
Pertanyaan patut dikemukakan kepada barisan pemimpin Umno Terengganu apakah mereka fikir dengan mengagihkan wang begitu rupa, mereka dapat memenangi undi rakyat Terengganu? Sedangkan sewaktu mereka kalah dalam pilihanraya lalu pun, berjuta-juta ringgit dibazirkan untuk projek-projek yang tidak munasabah serta 'membeli undi' rakyat.

