Membaca keluhan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam malaysiakini mengenai berkuburnya lamanweb Suaraanum, tidak mengejutkan atau memberikan apa-apa makna baru kepada orang yang mengikuti perkembangan parti Keadilan.

Kepada peminat politik negara, tragedi itu sudah ada dalam jangkauan para pencatur politik, termasuklah di kalangan AJK Tertinggi parti Keadilan sendiri. Sebab itulah, bukanlah satu rahsia lagi adanya beberapa orang daripada mereka akan meninggalkan parti tersebut untuk masuk semula ke dalam arus yang lebih besar dengan pelbagai alasan yang akan kita dengar kemudian hari nanti.

Sebenarnya, bukanlah Suaraanum ataupun Nik Nazmi yang 'mati', tetapi Keadilan sendiri yang akan menemui ajalnya. Menyorot kembali bagaimana kematian yang hampir pasti berlaku itu menurut beberapa penyokong mereka sendiri, Keadilan gagal menjadi sebuah parti yang berprinsip.

Hujah mereka yang terkenal, Keadilan tidak berjaya keluar daripada bayang-bayang Anwar Ibrahim walaupun mendakwa berjuang untuk semua rakyat Malaysia yang tertindas. Ramai rakyat, malah sesetengah orang Umno ataupun peminat atas pagar yang memerhatikan tingkah laku Keadilan dan mengharapkan akan muncul sinar harapan bagi sebuah parti yang benar-benar bersifat alternatif di negara ini.

Sementara sesetengah ahli Umno sendiri mengharapkan wujudnya sebuah parti yang kuat yang bukan bermotifkan agama seperti PAS untuk menyaingi Umno secara sihat, tanpa ugutan agama.

Manakala bagi yang lain, mereka mengharapkan munculnya sebuah parti yang mampu menjadikan Malaysia Baru sebagai motto yang tidak terkepung dengan bebanan sejarah kepartian berasaskan perjuangan kaum seperti parti-parti dalam Barisan Nasional. Hasrat mereka ini pun, yang sebahagiannya diwakili ahli-ahli bukan Melayu dalam Keadilan, menemui kegagalan.

Ramai yang melihat kegagalan Keadilan disebabkan faktor dan peranan kuat PAS yang membayangi setiap inci pergerakan Keadilan. Mereka menyifatkan pengumuman Dokumen Negara Islam PAS di ambang percantuman Keadilan dan PRM sebagai amaran PAS bahawa Keadilan jangan menjadi parti besar.

Keadilan seperti menjadi kecut dan sehingga tidak ada sebarang kenyataan yang bermakna dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi parti berkenaan dokumen tersebut.

Jadi, pilihan apakah yang masih ada kepada Keadilan dengan melihat peristiwa-peristiwa ini sebagai latar cerita?

Ada tiga pilihan. Satu daripadanya pilihan yang agak kuat , satu lagi longgar tetapi bermaruah manakala satu lagi bukan pilihan, tetapi paksaan dan lumrah semulajadi kepada mana-mana parti serpihan.

Pilihan pertama, bubarkan Keadilan dan beramai-ramai sertai semula Umno. Pilihan ini sangat kuat dan seperti yang saya ceritakan di awal tadi, pilihan inilah yang sedang diintai oleh ramai pemuka-pemuka Keadilan.

Pilihan kedua, walaupun bermaruah akan sangat tidak disukai rakyat, iaitu Keadilan bergabung dengan DAP dan meninggalkan PAS. Manakala pilihan ketiga, proses semulajadi akan berlaku kepada Keadilan walaupun disukai ataupun tidak selepas salah satu proses di atas berlaku.

Persoalannya, apa akan jadi terhadap Anwar Ibrahim? Saya serahkan tekaan tentang nasib beliau di tangan pembaca.