DKL: Kisah wartawan terkena sumpahan Sang Kelembai
Pada Ahad malam lalu, saya menonton Smallville, sebuah drama mengenai kisah hidup waktu remaja Clark Kent alias Superman. Dialog pada akhir cerita itu yang diucap oleh Luthor (ayah Lex) kepada Chloe (editor Torch, akhbar sekolah tinggi Smallville) begitu melekat di pendengaran saya, lebih kurangnya begini, Luthor berkata: "wartawan adalah bidan sejarah."
Begitulah gambaran peri pentingnya peranan wartawan dalam proses pembikinan sejarah moden. Apabila kita meneliti sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, tentu segera kita akan teringat nama Pak Sako, seorang wartawan. Di tangan orang sebeginilah, 'sejarah' diperanakkan menerusi tulisan mereka.
Tetapi malangnya, keberkesanan para wartawan dalam membidankan kelahiran sejarah baru telah dilihat oleh para politikus yang memegang kuasa, sebagai kuda yang boleh ditunggang pada bila-bila masa, untuk membawa ke arah yang mereka mahu.
Wartawan yang biasanya menyambut kelahiran sejarah baru dari sang ibunya, iaitu sejarah terdahulu, kini terpaksa pula akur pada Sang Kelembai, si politikus berkuasa yang sentiasa mahu sejarah baru lahir mengikut iras rupa mereka.
Silap-silap ingkar nanti keteguran dan disumpah... inilah nasib yang diterima oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times , Tan Sri Abdullah Ahmad alias Dollah Kok Lanas (DKL) yang telah dipecat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NST .
Konon alasan yang diberikan ialah kelantangan DKL mengkritik kerajaan Arab Saudi yang bisa menggoncang hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi. Adakah semudah itu pemuka-pemuka negara melonggarkan hubungan dua negara, semata-mata kerana komentar seorang wartawan?
Ingin juga saya bertanya kepada Syed Hamid Albar, bagaimana pula jika wartawan Arab Saudi yang mengkritik kerajaan Malaysia? Apakah Malaysia akan memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara?
Bagaimana pula hubungan diplomatik Malaysia dengan negara yang menjadi tempat keluarnya majalah-majalah seperti The Economist dan Far Eastern Economic Review , sekadar contoh? Majalah ini pernah secara terbuka mengkritik kepimpinan Malaysia di dalam keluarannya.
Atau apakah benar kerana sokongan terbuka DKL terhadap Najib Tun Razak dalam ulasan-ulasannya mengenai kepimpinan nombor dua negara menjadi penyebab?
Apa sahaja jawapan kepada persoalan ini semuanya membuktikan satu perkara, kebebasan media kita telah tiada, telah mati semenjak terlantiknya Ibrahim Fikri sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu , gagalnya 'Mogok Utusan' dan terhumbannya Said Zahari ke dalam kepungan kezaliman ISA.
Insiden pemecatan DKL ini hanyalah penerusan peristiwa yang membuktikan tentang cengkaman Umno/Barisan Nasional (BN) terhadap media, bahkan DKL sendiri adalah ketua pengarang yang ketiga jatuh akibat sumpahan dan keteguran Sang Kelembai yang memegang kuasa.
Di bawah cengkaman Umno/BN, para wartawan kita, tanpa rela, seringkali terpaksa menyambut kelahiran sejarah-sejarah baru yang kelihatannya tidak ubah seperti cerita fiksyen, penyuntingan bukan lagi istilah yang berkait dengan profesionalisme kewartawanan, tetapi ia adalah tentang
cerita mana yang paling menyedap dan menggembirakan hati si politikus yang berkuasa.
Cerita-cerita inilah yang sedang menjadi 'sejarah' untuk masa hadapan yang sedang menjadi bahan bacaan adik-adik dan anak-anak kita, sejarah dalam bentuk 'tengok-tulis-ubah-cipta-reka-ulas-lapor'.
Percayalah, semakin hari sejarah-sejarah baru yang disambut kelahirannya berbidankan wartawan-wartawan yang dicatu ideanya ini, semakin banyak yang cacat, semakin banyak yang sumbing, bahkan ada yang mengalami down-syndrome.

