Kegagalan RTM menyiarkan secara langsung perlawanan separuh akhir bolasepak Sukan SEA di antara Malaysia dan Vietnam, mencerminkan sikap badan penyiaran tersebut yang tidak memahami hasrat dan aspirasi majoriti rakyat.

Para pengulas RTM dengan bangga mengumumkan mereka akan menyiarkan siaran tertunda pada jam 12.30 malamnya.

RTM

yang menghabiskan beratus ribu untuk membuat liputan Sukan SEA, akhirnya memilih untuk membuat siaran langsung pada jam 10 pagi ketika belum ada cara penting berlangsung. RTM boleh menyiarkan laporan setiap malam secara langsung, tetapi tidak boleh menyiarkan perlawanan separuh akhir bolasepak secara langsung.

Jika dulu Kabinet terpaksa masuk campur untuk siaran Liga M, nampaknya kali ini agak terlewat untuk meminta Kabinet masuk campur lagi. Kita hanya boleh menyaksikan siaran tertunda perlawanan bolasepak pasukan negara. Tapi kita boleh menyaksikan siaran secara langsung perlawanan kelab kelas dua Eropah seperti Celtic pada jam 3.30 pagi.

Penulis fikir sebagai Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob tidak memahami sentimen dan hasrat rakyat Malaysia. Jika RTM di bawah pimpinan Khalil Yaakob melihat ucapan-ucapan SMS berbayar oleh penonton, hampir 50 peratus merupakan ucapan khusus kepada skuad bolasepak negara.

Malangnya, Menteri Penerangan dan RTM hanya menghabiskan wang rakyat dan penaja tanpa memahami apa yang sepatutnya mereka siarkan dalam siaran langsung Sukan SEA.

Apakah para penganalisis pemasaran RTM tidak memahami kehendak majoriti penonton? RTM memilih untuk mengadakan siaran langsung Sukan SEA dari jam 10 pagi -12 tengahari setiap hari, hanya untuk mengulang berita semalam dan menunjuk acara-acara tidak penting di peringkat saringan.

Jika komen penulis mengenai kegagalan RTM menyiarkan siaran langsung bolasepak Sukan Asia dahulu dijawab oleh RTM bahawa media tuan rumah tidak memberi liputan kepada perlawanan membabitkan pasukan negara, maka apa pula alasan kali ini? Apakah perlawanan Malaysia menentang Vietnam juga tidak mendapat liputan media Vietnam?

Jika di Thailand atau di Indonesia, sudah tentulah menteri terbabit atau ketua badan penyiaran terpaksa meletak jawatan. Tetapi di Malaysia mereka terus berlindung di sebalik Umno biarpun gagal memahami aspirasi rakyat.

RTM perlukan rombakan, dari menteri hinggalah kepada pengamalnya. Pasti kali ini akan timbul lagi isu pengkoporatan. Ini semua karut dan tidak ada kena-mengena. Yang penting sikap pengamal media, bukannya RTM diperbadankan atau tidak.