Pilihan untuk pertimbangan Umno
Membaca surat Azizi Aziz bertajuk 'Keadilan sertai Umno atau berkubur tanpa nesan' yang disiarkan pada Disember 8, 2003, menggelikan hati. Nampak gaya, beliau penyokong Umno yang begitu kuat hingga tidak berupaya melihat kelemahan dalam parti Umno Baru.
Beliau cuba memburukkan parti Keadilan dengan menggunakan pelbagai hujah. Tetapi sekiranya kita kaji secara adil dan saksama, segala kelemahan dalam budaya Umno boleh dilihat dengan jelas.
Kelemahan utama Umno ialah parti itu sudah kehilangan sebahagian besar sokongan orang Melayu, khususnya sejak 1987 selepas kontroversi pemilihan presiden parti itu. Ia bertambah buruk dengan pemecatan Anwar Ibrahim secara zalim dan tidak adil. Lebih bermakna sekiranya Azizi berhujah mengenai masalah ini, dan bukannya mencari keburukan parti lawan.
Kelemahan kedua Umno Baru ialah gejalah rasuah. Umno tidak berjaya keluar daripada bayang-bayang rasuah, yang telah menjadi sebahagian dari budaya politik parti itu.
Peristiwa Anwar adalah bukti kukuh mengenainya. Apabila beliau mengambil tindakan tegas terhadap rasuah, beliau terus dianiayai. Azizi perlu hujah tentang masalah ini dan bukannya mencari isu remeh-temeh dalam Keadilan.
Kelemahan ketiga ialah Umno dilihat sebagai parti kurang iman oleh majoriti orang Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan ajarannya. Inilah sebahagian daripada masalah Umno. Kita harap Azizi boleh memberi hujahnya mengenai perkara ini.
Ada beberapa pilihan sekiranya Umno tidak boleh membersihkan budaya yang merosakkan ini. Seperti penyakit Aids, bubarkan parti itu dan gantikan dengan parti lain yang masih belum rosak teruk. Kalau itu tidak dapat dilakukan kerana terlampau ego, masuk PAS atau Keadilan dan bermula secara bersih.

