Bukan Islam di Terengganu gembira di bawah panji Islam
Saya kurang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh saudara Azizi Aziz. Kalau beginilah cara beliau menerima konsep negara Islam, nampaknya tak sampai kemanalah perkembangan Islam di bumi Malaysia.
Beberapa peristiwa yang berlaku kebelakangan ini tidak menunjukkan negara kita negara Islam. Apakah pemimpin di 'negara Islam' saudara berhak untuk menentukan cara berpakaian muslim? Lihatlah apa yang berlaku di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Tidak perlu saya ulas dengan panjang lebar di sini. Belek-beleklah akbar perdana kita.
Berkenaan dengan arak, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa kerajaan PAS di Kelantan tak pernah menghalang penganut agama lain untuk terus meminumnya. Keadaan yang sama boleh berlaku jika Malaysia diperintah oleh PAS.
Di sini saya tidak nampak berlakunya kehilangan hak bangsa lain. Judi pula memang terang-terang haram bagi semua agama. Jadi judi diharamkan di Kelantan. Itupun setelah perbincangan diadakan oleh kerajaan negeri dengan kaum lain.
Secara tidak langsung, PAS telah menunaikan satu tanggungjawab untuk penganut agama lain dengan mengharamkan judi. Alangkah gembiranya sami-sami di Kelantan. Bukankah ini dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan secara tidak langsung.
Hubungan PAS dengan parti pembangkang yang lain tampak suram disebabkan mereka tidak faham dengan konsep negara Islam itu sendiri. Lihat apa yang berlaku di Terengganu di mana wakil DAP meletak jawatan semata-mata untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri.
Ini jelas menunjukkan mereka sudah dapat memahami dan menerima konsep negara Islam yang dibawa oleh PAS. Cuma pemimpin tertinggi mereka sahaja yang masih tidak dapat memahami konsep negara Islam.
Insya-Allah, sekiranya mereka berpeluang menikmati kehidupan di bawah panji Islam, keadaan yang sama akan berlaku. Kita tunggu dan lihat. Islam akan tetap mencapai kemenangan.

