Sehingga ke hari ini, saya masih lagi diselubungi kekecewaan dengan pengumuman kerajaan mengenai penangguhan projek landasan keretapi berkembar Utara-Selatan tempohari. Saya melihat isu ini sebagai tindakan yang terlalu ke belakang.

Mungkin saya kurang arif dari segi ekonomi dan politik negara, namun saya mengagak sebab-musababnya tidak hanya menjurus kepada isu ketidakmampuan ekonomi kita sebagaimana dijelaskan sebelum ini.

Bak kata pepatah Inggeris, 'there is no smoke without fire'. Ini diperkuatkan dengan kata-kata Dr Jamaludin Jarjis (Menteri Kewangan II) sebagaimana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh Isnin, Disember 22, 2003:

"Pada sidang akhbar selepas itu, kata Jamaludin, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan semua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-8. Beliau memberitahu, dana RM160 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah sangat besar berbanding RM80 bilion untuk melaksanakan projek-projek yang disenaraikan di bawah RMK-8."

Sebagai seorang bekas pegawai kerajaan yang pernah menaiki kereta api sejak dari bangku sekolah, saya mempunyai satu nostalgia yang cukup panjang. Sebagai penumpang setia, saya berpendapat bahawa perkhidmatan keretapi kita adalah di tahap yang terlalu uzur dan teramat perlu untuk dimajukan.

Semasa belajar di Universiti Malaya, keretapi adalah pilihan saya untuk berulang-alik ke kampung halaman di utara tanahair. Berbanding dengan bas, ianya lebih selesa, lebih lapang dan lebih selamat. Lagipun pada waktu tersebut, sebagai pelajar, kami layak mendapat diskaun ataupun paling tidak hanya membeli tiket kelas 3.

Pada waktu tersebut, tidak banyak perkara yang boleh saya komen kerana saya rasa itulah 'gold standard' bagi semua pekhidmatan keretapi kecuali mengenai perjalanannya yang amat lambat serta membingitkan telinga.

Apabila saya berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di United Kingdom, saya didedahkan oleh kemajuan pesat sistem pengangkutan negara barat [selain dari kematangan dan ketelusan sistem politik mereka]. Sistem pengangkutan awamnya terlalu baik berbanding dengan kita.

Bukan sahaja keretapi, malah perkhidmatan bas di bandar-bandar kecil serta di kampung-kampung juga amat efisyen. Memang tidak hairan jika di sana kita melihat seorang profesor universiti atau seorang eksekutif syarikat swasta tidak mempunyai kereta kerana mereka tidak memerlukannya. Adakalanya mereka hanya ada sebuah basikal. Itupun hanyalah untuk beriadhah.

Sistem pengangkutan mereka yang baik ini telah memudahkan banyak perkara dalam hidup mereka. Tidak hairan kalau ada sesetengahnya berulangalik untuk bekerja di London sedangkan mereka tinggal di Newcastle. Jarak antara kedua tempat ini adalah sejauh 460km tetapi ianyanya hanya memakan masa tiga jam.

Itu belum lagi kita melihat negara maju lain seperti Perancis atau Jepun yang mempunyai keretapi yang dua kali gandu lebih laju daripada UK. Manakala perjalananan antara Alor Setar-KL memakan masa antara 12-13 jam [sekiranya mengikut jadual].

Saya amat optimis projek besar ini, sekiranya terlaksana, akan secara langsung memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang. Ia akan memajukan bandar sedia ada, malah boleh mewujudkan bandar baru dalam lingkaran perjalanannya. Projek ini sendiri, secara jangka pendek dan juga panjang, akan menambah peluang pekerjaan di dalam KTMB sendiri.

Perjalanan yang cepat di antara sesuatu tempat membolehkan seorang yang tinggal di Alor Setar dapat berulang-alik ke tempat kerja di Sungai Petani, Pulau Pinang, Ipoh malah di Kuala Lumpur, pada hari yang sama atau paling tidaknya dua hari.

Kita juga akan dapat melihat seorang yang bekerja di Kuala Lumpur dapat tinggal di Tanjung Malim ataupun di Seremban. Mereka secara langsung dapat lari dari kesibukan kotaraya ataupun dapat mengurangkan beban kos perumahan di kotaraya.

Dari segi sosial, kita akan dapati hubungan kekeluargaan dapat diperkukuhkan. Anak-anak dapat

lebih kerap pulang ke kampung menziarahi orang tua. Ibu bapa dapat menziarahi anak-anak di institut pengajian tinggi di mana-mana sahaja dengan lebih kerap.

Saya selalu terbayang-bayang untuk menziarahi anak saya yang sedang menuntut di KL pada hujung minggu dan kembali semula bekerja di Alor Setar pada hari Isnin berikutnya, tanpa perlu memandu kereta sendiri.

Memang betul kita boleh menaiki kapalterbang tetapi kosnya sudah pasti lebih tinggi dan tidak semua orang mampu berbuat demikian. Dengan kadar kemalangan yang tinggi di Malaysia, perkhidmatan bas juga tidaklah seselamat keretapi.

Saya juga melihat projek untuk membesarkan lebuhraya PLUS sebagai tidak perlu diutamakan sangat berbanding projek keretapi ini. Membesarkan jalan juga tidak semestinya mengurangkan bilangan kenderaan. Malah secara logiknya akan meningkatkan lagi bilangan kenderaan di atas jalan raya!

Seperkara lagi sudah tentulah tol akan dinaikkan kerana pertambahan kos pembesaran tersebut. Dan rakyat yang tidak mempunyai banyak pilihan, terpaksa juga melaluinya, membayar dengan perasaan terpaksa. Bagi saya adalah lebih baik menurap jalan-jalan desa yang uzur di seluruh negara ataupun membina sebuah lebuh raya yang baik bagi penduduk negeri-negeri Pantai Timur. Ketepikan sengketa politik kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia dan membayar cukai jalan yang sama kadarnya dengan pemandu lain di Malaysia. Berilah keadilan kepada mereka.