Saranan tubuhkan Gerakan Pelajar Tangani Rasuah
Kami rakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada wartawan Berita Harian , Utusan Malaysia dan semua akhbar media perdana, termasuk badan penyiaran yang menerima anugerah kewartawanan sempena majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia 2001 di Malam Wartawan Malaysia, khusus kepada Ahmad Fauzi, Nor Affizar, Hatipah, Khairul Anwar dan Karim Sulaiman yang memenangi Hadiah Kajai baru-baru ini.
Namun kami tertarik kepada istilah 'Kewartawanan Membenci' (Hate Journalism) yang diucapkan oleh Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob dalam majlis anjuran Institut Akhbar Malaysia (IAM) itu.
Wartawan diingatkan supaya tidak terjebak dengan fahaman itu yang menatijahkan keadaan tidak tenteram, sambil menjelaskan bahawa fahaman itu berkait rapat dengan ulasan mengenai agama, bangsa, keturunan, budaya dan politik.
Kita sedia maklum, setiap fenomena yang berlaku dalam masyarakat, sebenarnya tidak wujud dalam kekosongan. Ia pasti wujud bersebab. Fenomena yang dirisaukan oleh Khalil sebenarnya berlaku di mana-mana negara, sekalipun kerana wujud ketidakseimbangan dalam masyarakat seperti faktor pengagihan kuasa, jurang ekonomi, limpahan budaya luar yang mendominasi budaya Malaysia serta lain-lain faktor.
Oleh itu, wartawan perlu menggali telaga faktor dan usul kelahiran kebencian ini. Usaha merawat kebencian tartakluk di atas pundak kaum wartawan dengan berbekal semangat keberanian mereka untuk mendedahkan penderitaan rakyat kepada pihak penguasa. Dan pihak penguasa perlulah prihatin, lagi bijaksana, apabila merawat fenomena luka rakyat yang semakin kronik dalam wajah putaran masa yang pantas berkembang.
Sebenarnya, usaha mendisiplin naluri menulis kaum kewartawan wujud dengan etika yang dipegang dengan keteguhan prinsip. Saya optimis, suasana ideal kebebasan mutlak media sebagai fourth estate dalam menimbang sukat paras demokrasi negara, boleh diwujudkan walaupun beliau merasakan tidak yakin dengan dengan kebebasan akhbar tersebut.
Kami, ingin merakamkan pendirian di sini bahawa paradigma kerajaan mestilah dianjakkan agar lebih bersedia dengan fenomena luarbiasa yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Hal ini kerana, Malaysia sebagai Negara Islam mempunyai tanggungjawab berat terhadap masyarakatnya untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab sosial dalam menyusun bicara mengenai isu-isu pergelutan makna di antara rakyat dan penguasa.
Sudah tentulah konsep Kewartawanan Islam perlu dibahas dengan teliti. Masanya sudah tiba bagi pelajar kewartawanan seluruh IPT membahas konsep-konsep ini dan Kod Etika Kewartawanan Muslim agar peranan wartawan Islam menyerlah dalam Malaysia sebagai Negara Islam yang bakal menjadi replika bagi wartawan-wartawan Negara Islam lainnya. Pendekatan dakwah dan mendidik masyarakat beradab adalah ramuan ulung dan agenda penting.
Kita tertanya-tanya adakah IAM mewujudkan anugerah untuk Kewartawan Penyiasatan? Yang kita dengar ialah anugerah Wartawan Cemerlang, Kewartawanan Berita/Rencana, Kewartawanan Hiburan, Kewartawanan Sukan, Foto Media Terbaik, Kewartawanan TV, Rencana TV Terbaik. Di mana pula hadiah Kewartawanan Penyiasatan? Semoga hal ini mendapat perhatian yang sewajarnya oleh IAM di masa depan.
Kami merasakan wartawan penyiasatan kekal releven dan sangat penting diketengahkan. Keghairahan Malaysia untuk menangani gejala rasuah di bawah pentadbiran YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sangat menuntut para wartawan menyiapkan diri untuk mendedahkan pelaku rasuah untuk diambil tindakan mengikut lunas perundangan.
Filem Mudhalvan & Nayak umpamanya mengisahkan bagaimana perjuangan seorang wartawan yang berani dalam menangani masalah rasuah dalam pentadbiran kerajaan di India. Kisah perjuangan Carl Bernstein dan Bob Woodward (wartawan penyiasatan Washington Post ) dalam All The President's Men hingga menjatuhkan Presiden Amerika, Richard Nixon dalam era 1970-an menerusi Skandal Watergate, telah membuktikan bahawa tugas wartawan itu sangat tinggi dan mulia darjatnya dalam pengisian makna dan ruh terhadap peradaban.
Saya menyarankan agar pelajar kewartawanan di seluruh IPT mengambil langkah pro-aktif dengan menubuhkan Gerakan Pelajar Tangani Rasuah (Gentar) untuk membantu kerajaan dalam usaha-usaha menangani gejala rasuah. Keberanian pelajar kewartawanan yang menceburkan diri dalam medan kewartawanan penyiasatan sangat disanjung tinggi. Kami alu-alukan pandangan semua pihak dalam membantu pergerakan seumpama ini.
Menyentuh tentang keberanian, kami berpendirian bahawa corak berita penyiasatan mesti dilihat dari aspek dua hala; masalah moral rakyat serta penguasa. Contohnya Edisi Siasat, NTV7 sehingga kini tidak dapat menumpu kepada gejala moral seperti rasuah di peringkat atasan.
Dari isu 'Seks Tepi Tangga', gejala sosial generasi muda ibu kota (12 Dis, 2003), remaja mengutip makanan sampah dan lain-lain, kita dapati kurang pendedahan terhadap gejala rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran. Sepatutnya, di sinilah medan yang sangat baik bagi mengimbangi corak berita mengenai kemerosotan budi rakyat dan pihak penguasa.
Pendek kata, Edisi Siasat perlu berani mendedah jenayah atasan dan jangan cuma berani menegur kegawatan akhlak rakyat bawahan. Hal ini kerana, jenayah atasan menatijahkan akibat buruk yang luas menimpa rakyat bawahan umumnya jika dibandingkan jenayah bawahan yang hanya menyusahkan segelintir entiti.
Dalam hal ini, kesatuan dan perpaduan yang utuh di kalangan wartawan dan masyarakat dengan semangat kerjasama dan saling membantu sangatlah baik untuk diplikasikan. Perenggan ke-2 Kod Etika Wartawan yang berbunyi "Dalam melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama".
Apa gunanya jika wartawan Edisi Siasat hanya menyiarkan kemelut sosial budaya kerdil tetapi menutup bahaya besar budaya elit dominan penguasa? Kritikan dan ulasan mesti adil, seimbang, dan saksama. Media harus mengkaji punca lahirnya fenomena luarbiasa dan bukan cuma melapor peristiwa.
Menurut kaji selidik pertubuhan antirasuah, Ketelusan Antarabangsa (TI) Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah agensi paling terdedah kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa. Sebab utama seperti kelemahan sistem pentadbiran, prosedur kerja dan kadar gaji yang tidak setimpal adalah faktor utama yang menyumbang kepada amalan negatif itu, demikian kata Presiden TI Malaysia, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Punca-punca rasuah mestilah didedahkan. Ini selaras dengan ucapan YAB Perdana Menteri yang ingin kita bercakap benar. Hal ini penting agar tindakan yang tepat dapat diupayakan. Kami mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan saranan terhadap pengacara Edisi Siasat supaya mengguna bahasa yang lebih lunak bersopan ketika mengupas apa jua topik dalam setiap paparan Edisi Siasat.
Oleh itu, kami sarankan kepada IAM serta NUJ supaya mengkaji semula serta menambah satu perenggan dalam Kod Etika Wartawan dengan mengambilkira tatasila dan adab kesopanan sebagai berikut: "Wartawan mestilah menggunakan laras bahasa dan penulisan yang sesuai, bersopan serta lunak ketika menyampaikan ulasan dan corak pemberitaan kepada khalayak"
Barangkali, kita sudah boleh menilai dengan lebih kritikal, ekstrem, dan radikal mengenai medan kewartawanan pasca-moden. Penulis mengalu-alukan pandangan serta penyertaan seluruh pelajar kewartawan di universiti-universiti agar dapat menghayun serta menyusun langkah bersama bagi memartabat professional wartawan di negara kita.
Pandangan anda boleh disalur melalui alamat Peti Surat 4, Pos Malaysia Gelugor, 11700 Gelugor, Pulau Pinang atau melalui emel; garap@tm.net.my. Ali Bukhari Amir, Pengerusi Jawatankuasa Penaja, Sekretariat Pelajar Kewartawanan Muslim, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

