Kegagalan Keadilan adakan AGM cermin kegagalan halatuju kepimpinannya
Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengarang kerana menyiarkan sepenuhnya kandungan surat-surat saya yang dikirimkan sebelum ini. Saya begitu berbangga dengan keberanian dan ketelusan yang diamalkan oleh malaysiakini .
Saya merujuk kepada surat balasan oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai ' Warga Malaysia Baru ' , yang tersiar agak lama dulu, iaitu pada 16 Disember 2003. Saya mengambil masa untuk menjawabnya kerana perlu mengumpul dahulu maklumat dan melakukan sedikit kajian.
Pada pagi Khamis yang ceria, sewaktu sedang menikmati teh tarik dan sekeping roti bakar, saya diganggu dengan deringan telefon bimbit, dan seorang rakan memberitahu saya mengenai berita parti Keadilan menangguhkan mesyuarat agung Tahunan ke-4 parti tersebut.
Berita itu memetik Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah yang memberi alasan bahawa ianya ditangguhkan berikutan persediaan Keadilan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Saya mencongak sendiri kerana beberapa hari sebelum ini, seorang rakan yang juga bekas seorang wartawan sebuah akhbar harian perdana, mendakwa seorang pemimpin Keadilan peringkat negeri telah dihantar berunding mengenai kemasukan beramai-ramai pemimpin dan ahli Keadilan ke dalam Umno, sebelum pilihan raya akan datang.
Saya semacam tidak percaya, tetapi setelah disebut butir-butir pertemuan itu dan apa berlaku selepasnya, termasuklah penangguhan AGM Keadilan, saya diam-diam mengiakan berita teman itu. Dalam masa yang sama saya mengenangkan apa akan jadi kepada percantuman Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) - bendera sudah siap dan telah dipromosi tetapi pendaftaran masih tergantung.
Antara butir-butir yang disebutkan teman bekas wartawan itu- yang masih saya ingat adalah mengenai kemasukan tanpa syarat ahli-ahli Keadilan yang jumlahnya masih boleh menjadi penentu kuasa di banyak kawasan dewan undangan negeri (DUN) mahupun Parlimen, termasuklah di dua negeri di bawah pengaruh PAS.
Sehingga kini, perundingan dikatakan masih lagi berjalan lancar.
Apakah akibatnya kemasukan ahli Keadilan ke dalam Umno kepada politik negara amnya dan kepada PAS khususnya. PAS akan menganggap Keadilan menikam dari belakang, hampir sama dengan PBS menikam BN sewaktu menyertai Gagasan Rakyat dengan Semangat 46 dulu.
Dalam pada itu saya mencongak sendiri, bahawa kesannya mungkin lebih besar daripada itu. Ini boleh ditafsir sebagai politik balas dendam terhadap layanan PAS kepada Keadilan selama ini. Setiap masa Keadilan terpaksa melukut di tepi gantang apabila berhadapan dengan PAS.
Kemuncaknya ialah apabila PAS mengisytiharkan Dokumen Negara Islam tanpa melakukan perundingan secukupnya dengan Keadilan dan PRM, sehinggakan seorang teman penulis politik kecil-kecilan berkata kepada saya - PAS selama ini tidak menyedari kuasa yang ada kepada sebuah parti kecil, lalu meneruskan sikap ingin menang sendiri.
Saya juga mencari koleksi sebuah buku politik lama berjudul "Tembelang Anwar", terbit bulan Julai 1999 sewaktu 'semangat reformasi sedang berkobar lalu Kuala Lumpur dibakar'. Buku ini hasil tulisan beberapa penulis yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Penyelidik Politik Melayu (KPPM).
Dalam bab kedua, di mukasurat 19 buku tersebut disebut bahawa reformasi dan Keadilan boleh dilihat dalam tiga fasa. Fasa pertama adalah fasa panik yang diisi dengan keadaan terkejut dan reformasi mendapat dokongan kuat, termasuklah dari mereka yang 'buta politik'- disimbolkan oleh remaja punk yang melaungkan reformasi.
Fasa kedua fasa ialah pembentukan parti Keadilan, yang diambil kesempatan oleh pendukung Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah gerakan yang menghimpun kemarahan rakyat ekoran perbicaraan Anwar di mahkamah dan mata lebam sebagai simbol ketidakadilan (dan juga simbol parti).
Sebenarnya, fasa inilah yang sangat penting kerana ia diisi dengan perhimpunan dan mesyuarat agung parti yang akan menetapkan dasar dan hala tuju parti seterusnya.
Keadilan pernah menjadi kuasa pencatur yang sangat kuat dalam politik negara. Mereka menjadi orang tengah yang tepat dan berkesan dalam penyatuan DAP-PAS dan Keadilan-PRM, sebelum PAS mengkucar-kacirkan Keadilan dan DAP dengan isu Negara Islam. Itu cerita awal tahun 2000, selepas pilihanraya November 99.
Dalam pada itu, daya hidup Keadilan terus malap. Ini dilambangkan dengan terkuburnya laman-laman web yang satu ketika dahulu sangat ghairah menjunjung Anwar Ibrahim dan menghentam Dr Mahathir Mohamad. Sekarang ini, selain malaysiakini , laman-laman yang lain terus terkubur, kecuali laman-laman web yang mengharapkan sisa-sisa simpati pendokong Keadilan seperti freeanwar..
Keluhan demi keluhan didengar daripada orang kuat Keadilan suatu ketika dulu mengenai hilangnya semangat dan daya juang Keadilan. Keadilan juga terus ditekan kiri dan kanan, oleh ahli sendiri dan oleh rakan utama dalam pakatan, PAS. Percantuman dengan PRM langsung tidak membantu, sama ada dari segi menambah keahlian atau menyalakan semula apai perjuangan.
Dalam pada itu, terdapat beberapa percubaan serius daripada beberapa perkumpulan anak muda untuk memisahkan perkumpulan reformasi daripada Keadilan, kerana mereka menganggap tiada beza di antara Keadilan dan Umno dari segi menjunjung feudal.
Dan, ironisnya isu pemisahan ini bermula apabila kumpulan anak-anak muda di bawah asuhan Hishamudin Rais melihat contoh kefeudalan Keadilan bermula di rumah Datin Seri Wan Azizah, sewaktu perkahwinan anak sulung mereka, Nurul Izzah. Mereka menganggap jamuan berasingan antara para VIP dan rakyat marhaen di majlis itu sangat melukakan hati kumpulan reformasi.
Cubaan parti Keadilan untuk menghidupkan semula semangat reformasi menemui kebuntuan apabila anjuran untuk berdemonstrasi menemui kegagalan. Terbaru, beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidil fitri, cubaan menganjurkan perhimpunan selepas sembahyang Jumaat gagal.
Kali ini sekatannya bukan lagi FRU ataupun pihak polis. Orang Keadilan sendiri sudah tawar hati.
Dengan latar belakang cerita Keadilan beginilah saya terfikir seorang diri - kalaulah penulis buku "Tembelang Anwar" itu tahu kesudahan cerita Keadilan sepertimana yang saya tahu hari ini, sudah pasti beliau menambah satu lagi fasa, iaitu fasa terkuburnya Keadilan, tanpa nesan.

