PAS dan MCA merupakan dua parti politik yang mempunyai wibawa dan karisma tersendiri di bawah kepimpinan yang sentiasa sensitif terhadap apa jua perkembangan semasa yang melibatkan kepentingan kelompok masing-masing.

PAS selaku parti dari Barisan Alternatif (BA) atau MCA dari Barisan Nasional (BN), telah memperlihatkan kekuatan masing-masing dalam komitmen untuk memelihara dan memperjungkan hak rakyat terbanyak.

PAS dapat dilihat sekalipun di dalam BA, telah mempamerkan kematangan berpolitik, dengan terus bersama BA atas manifesto yang dipersetujui bersama. PAS tidak gentar untuk terus mengetengahkan perjuangannya yang tidak menggugat manifesto bersama BA itu.

Sekalipun wujud usaha pelbagai pihak untuk mengkucar-kacirkan BA, namun PAS tetap tegas dengan pendiriannya yang jelas tidak bertentangan dengan manifesto bersama dan menjadi teras perjuangan parti itu.

MCA pula dilihat sudah mula mengorak langkah, sekalipun di dalam BN, untuk memperlihatkan ketrampilan berpolitik mereka tanpa terbelenggu di bawah cengkaman parti komponen lain dalam barisan tersebut.

Sesudah era Tun Tan Siew Sin dan beberapa kegemilangan kepimpinan mereka, suasana kemuraman dalam MCA bermula dalam era Dr Ling Liong Sik. MCA kini dilihat sedang berusaha untuk keluar daripada belenggu itu.

Apa yang menarik ialah keberanian MCA membuat anjakan paradigma untuk terus releven di kacamata rakyat yang bukan hanya tertumpu kepada penyokong BN sahaja.

Keterbukaan yang di perlihatkannya secara berhati-hati ini, akan memberikan wajah baru kepada MCA dan merupakan tamparan hebat kepada DAP yang dijangka berkubur akibat tentangannya terhadap Negara Islam, yang benar-benar melukakan orang Melayu.

Adalah tidak mustahil PAS dan MCA membentuk satu gabungan bersama BA yang dapat memenuhi pengharapan rakyat menghadapi era yang memerlukan keadilan, ketelusan dan persefahaman yang lahir daripada nurani yang ikhlas.

PAS merupakan sebuah parti yang jelas perjuangannya manakala MCA pula mewakili parti terbesar mewakili orang Cina. Kita menunggu bakal percantuman yang sukar digugat oleh mana-mana pihak ini.