Stesen TV kita tiada halatuju?
Saya amat tertarik dengan pendapat beberapa pembaca malaysiakini mengenai isu iklan TV3 sempena perayaan Tahun Baru Cina. Saya berpendapat iklan itu membawa mesej tertentu.yang tersirat.
Stesen TV swasta tersebut nampaknya lebih cenderung untuk menyiarkan rancangan-rancangan Cina yang baginya membawa keuntungan besar daripada jualan iklan. Usaha ini diteruskan melalui penubuhan stesen TV8 untuk mengaut keuntungan yang lebih lumayan.
Adalah amat dikesali kerana kebanyakan stesen TV tidak memahami aspirasi nasional dan lebih mementingkan keuntungan semata-mata. Rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama yang kaya dengan kebudayaan yang boleh di banggakan.
Namun tidak ada satu pun stesen yang nampaknya berusaha bersungguh-sungguh untuk menerbitkan rancangan tempatan yang bermutu yang memaparkan kehidupan masyarakat majmuk ini.
TV3 dan RTM, walaupun di bawah jagaan kerajaan atau pengaruh Umno, gagal memainkan peranan sewajarnya. Dan yang menghampakan ialah rata-rata, semua stesen TV ini tidak mempunyai halatuju yang jelas - semuanya menjadi Pak Turut semata-mata. Satu tunjuk telenovela, semuanya ikut!
Oleh itu, sudah tiba masanya bagi stesen TV nasional ditadbir oleh tokoh-tokoh media dan bukannya tokoh kewangan .

