Saya amat tertarik dengan surat Mansor Brown yang bertajuk ' Stesen TV kita tiada halatuju? ' yang disiarkan di halaman surat pembaca malaysiakini dan pada kesempatan ini juga saya terpanggil untuk berkongsi pendapat bersama-sama para pengunjung setia lamanweb ini.

Pada pendapat saya, masalah utama yang dihadapi oleh badan-badan penyiaran di negara kita adalah krisis identiti. Masalah inilah menyebabkan stesen-stesen TV kita seolah-olah kehilangan halatuju dalam memandu masyarakat kepada nilai-nilai murni sejagat. Kritikan ramai pembaca tentang iklan Gong Xi Fa Cai TV3 memperlihatkan keprihatinan kita terhadap sensitiviti hubungan kaum, warna kulit dan agama. Stesen-stesen TV tempatan perlu menghormati dan 'beradab' terutama apabila menyentuh isu-isu yang dinyatakan tadi. Kementerian Penerangan perlu pro-aktif dalam membentuk etika penyiaran bagi stesen-stesen TV dan industri perfileman tanahair.

Barangkali kita masih ingat ketika zaman kemuncak irama 'rock' pada penghujung 1980-an hingga pertengahan 1990-an, Kementerian Penerangan pernah mengharamkan penampilan artis-artis berambut panjang dan terlibat dengan dadah di kaca TV. Setidak-tidaknya, kerajaan menunjukkan keprihatinan tentang persoalan akhlak dan moral masyarakat.

Bagaimanapun, dengan kepesatan kemajuan negara, stesen-stesen TV dan radio swasta kian bercambah. Kehadiran mereka dalam dunia penyiaran adalah dialu-alukan, namun terdapat jurang yang besar dan dalam, sehingga kadangkala mereka melangkau batasan etika ini.

Contohnya. ramai masih ingat kontroversi 'Akademi Fantasia' terbitan Astro Ria dan Radio Era. Pergaulan bebas dan 'terkinja-kinja' menjemput kritikan pedas banyak pihak tentang penampilan remaja kita dalam rancangan tersebut.

Baru-baru ini, saya sendiri terperanjat bagaimana rancangan 'Fear Factor' yang disiarkan NTV7 menampilkan edisi 'Playmates Special' (Playmate adalah gelaran untuk wanita yang berbogel dalam majalah Playboy ).

Seharusnya stesen TV terbabit lebih peka dalam menyiarkan rancangan berkenaan. Ini belum dikira rancangan-rancangan yang disiarkan melalui 8TV dan Channel 9. Persoalannya ialah sama ada Kementerian Penerangan ada atau tidak, membuat pemantauan?

Saya berharap menteri dan setiausaha Parlimen kementerian terbabit harus lebih peka dalam perkara ini. Dalam zaman kebejatan sosial yang kian parah; bukan sahaja rakyat yang mesti peka terhadap permasalahan sosial yang berlaku tetapi para pemimpin juga bertanggungjawab membawa haluan rakyat.

Mungkin juga Kementerian Pembangunan Wanita perlu sensitif dengan isu-isu ini kerana rakyat makin galak disajikan dengan rancangan TV yang menampilkan wanita berpakaian menjolok mata dan merobek perasaan kita.