Kerana pembangkang, rasuah dibanteras Tahniah!
Menjelang pilihanraya ke-11, pemikir Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang sibuk mencari akal untuk memperbetulkan imej pemimpin tertingginya, Perdana Menteri baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap ramai sebagai "lembik", tidak berkarisma serta tidak berwawasan.
Apapun yang cuba dilakukan oleh mereka, akhirnya membuktikan bahawa parti pembangkang yang utama di negara ini telah berjaya mengubah sikap pemerintah yang selama ini sentiasa dengan angkuhnya, menolak dakwaan salahlaku atau rasuah yang terang-terang berlaku dan dilakukan oleh kroni, ahli dan juga pemimpin parti pemerintah.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinetnya, seringkali memperkecilkan usaha parti pembangkang membongkar penyelewengan yang berlaku, dengan menyifatkannya sebagai fitnah parti pembangkang.
Akan tetapi, keadaan kini telah berubah. Perdana menteri baru terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengambil tindakan ke atas kroni serta ahli kabinet kerajaaan Pusat BN. "Paragdim shift" ini mungkin disebabkan oleh keghairahan perdana menteri baru yang mahu membentuk imejnya sebagai pemimpin berwibawa dan beliau cuba menjauhkan dirinya daripada cara keras kepala Dr Mahathir.
Ada juga yang mengatakan ia mungkin disebabkan oleh sifat "lembik" perdana menteri baru yang tidak dapat menahan tekanan pihak lawan dan untuk memacing pengundi di bandar kerana keadaan Umno tidak selesa, terutama, di luar bandar.
Tindakan BN yang cuba menyerikan imej perdana menteri baru, jika dilihat tanpa iklan dan propaganda dalam media massa, hanya menunjukkan ia memerlukan mandat lebih besar dari rakyat dan pihak BN akan melakukan apa sahaja untuk memancing undi.
Apapun andaian orang ramai, peranan parti pembangkang seperti parti Keadilan, PAS dan DAP dalam membongkar isu rasuah dan penyelewengan, adalah sangat penting dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.
Jika bukan kerana pemimpin parti pembangkang bertungkus-lumus menjelajahi seluruh negara membongkar kes rasuah yang membabitkan pemimpin parti pemerintah dan penyangak wang rakyat, bagaimana kita sebagai rakyat mendapat tahu sifat rakus mereka ini. Akhbar perdana tidak akan menyiarkan berita sebegini kerana ia akan menggugat kedudukan Umno dan BN.
Selain itu, rakyat tidak boleh bergantung kepada BN untuk memantau pertadbirannya sendiri. Kita sedia maklum, jika ada sesiapa dalam BN yang berani menyoal penyelewengan dalam gagasan tersebut, ataupun setakat mengambil keputusan yang tidak menyebelahi mana-mana; pihak BN mahupun pembangkang, mereka ini akan dikenakan tindakan tatatertib ala BN.
Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dato Keramat dan Jawi dari Pulau Pinang yang tidak menyokong dasar kerajaan negeri BN yang membelakangkan kepentingan rakyat, mengakibatkan mereka digantung lebih setahun. Ia menjadi bukti yang paling sahih bahawa BN tidak boleh bertoleransi terhadap perbezaan pendapat dalam gagasan tersebut.
Oleh yang demikian, parti pembangkang sangat diperlukan untuk menjadi mata dan telinga rakyat bagi memantau tindak-tanduk kerajaan BN dalam mentadbir negara. Dalam pilihanraya akan datang, rakyat harus peka dan membuat keputusan yang tepat.
Suka atau tidak, parti pembangkang tetap diperlukan. Iklan serta propaganda BN dalam media massa yang mewarwarkan ketegasan perdana menteri baru dalam memerangi rasuah dan imej barunya, hanya untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihanraya.
Jika benar perdana menteri baru hendak menghapuskan rasuah, beliau mesti mengubal akta rasuah di sidang Parlimen pada bulan depan, bagi memperketat dan menutup sebarang jalan-keluar atau "loophole" yang membolehkan perasuah terbebas dan BPR pula harus diletakkan di bawah kuasa Parlimen, sebagai sebuah suruhanjaya bebas yang dianggotai perdana menteri, Ketua Pembangkang, ahli Parlimen kedua-dua belah pihak secara sama rata.
Jika tidak berbuat demikian, BN tetap sama jika diberi mandat baru. Rasuah tetap rasuah, penyanggak tetap penyanggak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.