Lokman Noor Adam, walaupun menyerang Keadilan dan Reformasi, masih mahu meraih keuntungan politik, dengan menggambarkan dirinya menerima nasib yang sama dengan Anwar Ibrahim sewaktu menghadapi tindakan daripada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Apakah Lokman seperti Anwar, atau sekurang-kurangnya beliau menerima nasib yang sama dengan tokoh besar Reformasi itu?

Anwar ketika menghadapi tindakan MT Umno, hadir membela diri atas segala tuduhan yang dihadapinya. Malah Anwar, sehingga kini meneruskannya melalui proses mahkamah, sekalipun kebebasan mahkamah itu sendiri diragui oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa.

Tetapi kini, Lokman diberikan peluang untuk membersihkan namanya dan mengemukakan bukti bagi menyokong semua tuduhan yang dikemukakan terhadap Ezam Mohd Nor; dan malah terhadap Angkatan Muda dan parti Keadilan itu sendiri, khususnya dalam soal pengurusan dana.

Tuduhan Lokman bahawa jawatankuasa yang dibentuk untuk menyiasat perkara ini tidak akan berlaku adil, adalah tindakan menafikan undang-undang. Jawatankuasa ini adalah peluang untuk Lokman secara rasmi, mengemukakan bukti terhadap tuduhannya.

Ini akan membolehkan beliau memasukkan ke dalam rekod bukti-bukti yang dimilikinya. Malah, dari aspek syariah, maximnya ialah: Keterangan atas orang yang menuduh. Ini bermakna beban bukti adalah di atas Lokman yang membuat dakwaan mengenai salahurus dana tersebut.

Sekiranya Lokman tidak ada bukti (atau enggan mengemukakan bukti sekalipun), maka Lokman tidak ada pilihan, selain berdiam dan tidak mengulangi tuduhannya yang kini menjadi fitnah yang nyata kerana ketiadaan bukti.

Prasangka beliau terhadap jawatankuasa ini adalah penafian proses undang-undang, sedangkan Ezam telah mengemukakan surat terperinci mengenai pertuduhannya terhadap salahlaku Lokman yang membahayakan parti dan menyenaraikan saksi-saksi yang terlibat. Justeru tuduhan ini boleh diperiksa kesahihannya oleh jawatankuasa berkenaan.

Keengganan Lokman ini, bersama cara beliau mengendalikan tuduhannya ini, seolah-olah ada niat tidak baik di sebalik pendedahannya. Nampaknya ini adalah sebahagian perancangan besar konspirasi untuk menyerang Ezam, dan sekaligus melemahkan Angkatan Muda dan Keadilan itu sendiri.

Rancangan ini termasuk cuba memecahkan kesatuan gerakan Reformasi apabila beliau mendakwa Reformis akan memberi sokongan kepadanya dalam membuat tuduhan terhadap Ezam ini. Apakah jihad (atau 'crusade') yang cuba dilakukan oleh Lokman ini?

Dakwaan bahawa Reformis akan menyokongnya, hanya akan menyebabkan pergeseran dan perselisihan dengan pendokong dalam Keadilan. Ini adalah politik pecah belah yang dibawa oleh Lokman.

Saya percaya, lemahnya tuduhan-tuduhan Lokman yang tidak disokong oleh bukti yang jelas dan cara-cara dia membuat tuduhan ini, akan dapat dilihat jelas oleh rakyat dan pendokong Reformasi-Keadilan.

Walaupun kita sedar dengan tipu muslihat beliau ini, tetapi kita perlu sama-sama bertindak untuk menentangnya sebelum beliau berjaya merosakkan parti. Berdiam diri sekalipun akan menjadi galakan dan sumbangan kepada Lokman untuk terus berusaha memusnahkan parti dan harapan politik

Dalam suasana bahang pilihanraya semakin terasa, rakyat yang layak mengundi seharusnya diperingatkan tentang tanggungjawab dan kuasa mereka. Tanggungjawab terhadap negara dan kuasa mereka menentukan kerajaan.

Perlembagaan negara memperuntukan hayat pemerintahan kerajaan selama lima tahun. Dalam tempoh tersebut, kerajaan yang memerintah, berkuasa untuk mengisi pemerintahan mengikut citarasa mereka, walaupun hakikatnya, mereka memegang amanah rakyat.

Rakyat hanya sekadar dapat meluahkan rasa tidak puashati, itupun jika tidak disekat kebebasan bersuara, terhadap sesuatu isu. Kuasa rakyat untuk mengubah sesuatu perkara dalam tempoh lima tahun tersebut amat terhad.

Saluran utama untuk rakyat menuntut perubahan adalah melalui Parlimen. Walau bagaimanapun sistem perwakilan berparlimen ini tidak berperanan kerana wakil rakyat khususnya di pihak kerajaan memerintah lebih terikat dengan agenda kerajaan. Ini terbukti apabila dua orang wakil rakyat dari BN di Pulau Pinang digantung kerana memihak kepada rakyat.

Rakyat yang layak mengundi seharusnya sedar bahawa terdapat satu hari dalam tempoh lima tahun di mana kuasa berada di tangan mereka. Kuasa mereka boleh mencorak pemerintahan negara malah mengubah kerajaan yang memerintah.

Pada hari tersebut, mereka sebagai bos kepada calon yang ingin menjadi wakil mereka. Mereka sememangnya akan dilayan sebagai orang yang mempunyai kuasa. Apa tidaknya, kenderaan akan disediakan kepada mereka yang tidak berkenderaan.

Malah bagi yang tidak berupaya, akan disediakan kerusi roda, dipapah malah didukung. Meraka yang tidak berkemampuan dari segi kewangan, akan diberi bantuan, malah jamuan juga disediakan.

Kerajaan yang memerintah sememangnya mengharapkan mandat baru diberikan oleh rakyat pada hari pilihanraya. Rakyat pula seharusnya bijak menilai pemerintahan kerajaan. Kuasa mengundi hanya diberikan kepada rakyat.

Jika kuasa tersebut tidak digunakan sebaik mungkin untuk memilih kerajaan yang benar-benar mengutamakan rakyat, maka akan terlepaslah peluang untuk melihat perubahan. Peluang untuk mengundi hanya sekali. Jika dilepaskan, terpaksalah menanti lima tahun lagi. Penantian adalah satu penyeksaan.