Saya adalah seorang remaja berusia 19 tahun yang masih lagi belajar dan menetap di salah sebuah daerah di Johor. Di sini, ingin saya luahkan sedikit kekesalan lantaran sikap pegawai polis di daerah ini. Sejak kebelakangan ini, memang tidak dinafikan Malaysia sering dilanda pelbagai masalah sosial yang meruncing seperti lumba haram, kes rogol dan sebagainya.

Berikutan peningkatan mendadaknya kejadian seperti itu, maka banyaklah tindakan yang dilakukan oleh pihak polis untuk membanterasnya seperti melakukan rondaan dan penangkapan. Di sini saya ingin menyatakan tindak-tanduk pihak polis di daerah ini, yang dibuat secara yang tidak sepatutnya.

Sejak dua atau tiga minggu lalu, pihak polis membuat tangkapan terhadap remaja yang terserempak dengan mereka. Mungkin, mereka boleh memberikan alasan kami melepak di perhentian bas. Namun pada pandangan saya, alasan itu bukanlah sesuatu yang kukuh untuk mereka menyusahkan kami.

Mereka yang ditangkap diperlakukan seperti orang yang melakukan kesalahan yang hina. Seorang remaja dihina dan dituduh menghisap ganja hanya kerana dia bertubuh kurus. Pada pandangan saya, ini satu penghinaan.

Ada juga mereka yang ditangkap, dihina sebagai pemakan sampah- seperti yang digembar-gemburkan oleh rancangan NTV7, Edisi Siasat, hanya kerana mereka mempercayai ideologi punk.

Dalam membuat tangkapan membabi buta ini, dapat juga saya lihat sifat prejudis polis di mana ramai yang ditahan adalah remaja Melayu. Bukan tujuan saya untuk membela bangsa Melayu atau mempertahankan bangsa Melayu kerana saya sendiri bukanlah berbangsa Melayu. Tetapi realitinya, ada juga remaja bangsa lain yang ada di perhentian bas tersebut.

Bukankah ini salah satu cabang sifat perkauman? Apakah pihak polis kita bersifat rasisme sepertimana polis di negara barat yang kuat sifat perkauman mereka.

Mungkin pihak polis tiada tugas lain, lantas menangkap remaja supaya dilihat melakukan 'sesuatu' untuk masyarakat. Saya seorang yang memegang kerakyatan Malaysia - sebuah negara yang merdeka, tetapi kerana tindak-tanduk pihak yang memegang kuasa ini, saya menjadi risau - walaupun untuk keluar membeli sesuatu di bandar.

Situasinya sama seperti saya seorang warganegara asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen sah. Tiada gunanya saya memegang kerakyatan Malaysia sekiranya masih lagi ada hal-hal yang jelas menyekat kebebasan seseorang. Apakah menjadi satu kesalahan untuk menjadi seorang remaja yang berasa selesa dan selamat berjalan di dalam sebuah negara yang merdeka?

Apakah hanya kerana pihak polis diberikan kuasa, maka mereka boleh melakukan apa sahaja? Bukankah lebih baik sekiranya mereka yang benar-benar melakukan jenayah ditangkap? Bukankah lebih baik sekiranya mereka menangkap anggota polis yang menerima rasuah? Bukankah lebih baik sekiranya mereka menangkap anggota polis yang merogol? Bukankah lebih baik sekiranya mereka menangkap anggota polis yang menyalahgunakan kuasa?

Jika selama ini, di dalam hal kebebasan bersuara, remaja dianggap sebagai halimunan, mengapa pula apabila timbul masalah sosial, barulah mereka nampak remaja? Apakah remaja merupakan golongan istimewa dan mereka dengan mudah sekali menuding jari kepada remaja lantaran berlakunya segala masalah ini?

Tulisan ini berdasarkan satu realiti jelas dan bukan berlandas emosi atau sebarang dogma untuk memburukkan satu pihak. Ini adalah kali pertama saya berhubung dengan media dan saya tidak pasti apakah media di Malaysia bebas untuk saya meluahkan sesuatu?

Sekiranya tulisan ini berjaya terpampang di dada akhbar, maka saya dan mungkin masyarakat akan terus menghormati peranan akhbar sebagai satu media penyampai realiti dan bukan fantasi.

Inilah satu realiti yang menunjukkan bahawa kuasa menjadikan manusia itu jahil, jika disalahgunakan.