Saya merupakan pembaca tetap lamanweb malaysiakini . Terus-terang, walaupun saya seorang penyokong dasar-dasar kerajaan, saya tertarik dengan konsep malaysiakini sebagai sumber pilihan maklumat.

Saya juga merupakan penghantar surat pembaca yang agak kerap, dan boleh dikatakan sehingga baru-baru ini, 90 peratus daripada surat-surat saya disiarkan malaysiakini .

Tetapi, saya agak terkilan apabila hampir pilihanraya, surat saya sudah tidak disiarkan. Bukankah surat saya sebelum ini semuanya membela dasar kerajaan, apa bezanya dengan surat saya kini. Saya telah hantar sehingga dua kali, dan yang surat kedua diedit dengan teliti kerana saya merasakan kali pertama tidak tersiar disebabkan masalah editing.

Apakah ada perkiraan lain semasa pilihanraya, yang tidak konsisten dengan semasa bukan pilihanraya. Sebagai media bebas, perlukah ini diamalkan? Secara jujur, kekuatan malaysiakini terletak kepada keterbukaannya, walaupun pada musim pilihanraya atau tidak.

Apabila mendengar bahawa malaysiakini menghantar permohonan permit untuk menjadi akhbar terbuka (cetakan kertas) saya antara yang menyokong dan sudah pasti akan menjadi pelanggan tetap akhbar tersebut.

Saya sudah jemu membaca akhbar pembangkang kerana kualiti kandungannya hampir menyebabkan saya naik pitam. Saya sebagai pembaca kritikal perlukan sebuah akhbar perdana yang neutral - kalau tak mahu disebut akhbar pembangkang yang menjunjung intelektual, isinya bermutu, berfakta seperti malaysiakini .

Saya tidak mahu malaysiakini menghilangkan aset terpenting ini - iaitu kebebasan dan kesanggupan mendengar dan menyiarkan pandangan daripada semua pihak.

Kepada pengarang Steven Gan, kalau saya merajuk, ia tidak menjejaskan apa-apa kepada malaysiakini , saya yakin. Tetapi, pastilah di dalam hati saya tetap menyimpan bahawa sudah tidak ada lagi kebebasan media yang saya percayai ada kepada malaysiakini . Hendak mengharapkan media lain, mana ada. Oleh itu, kekalkan dasar anda yang sedia ada....


Nota Pengarang:

Terima kasih di atas kesetiaan anda mengirim surat-surat untuk disiarkan dalam lamanweb kami. Bagaimanapun, ada antara surat saudara itu tidak disiarkan kerana surat yang sama, sudahpun tersiar di lamanweb yang lain.