Sungguh meleset sangkaan Pak Lah...
Sungguh meleset jangkaan Pak Lah. Orang muda seperti saya selamanya tidak akan lupa tentang apa yang telah berlaku kepada Anwar Ibrahim. Saya menunggu suatu keputusan yang adil melalui proses keadilan yang adil untuk Anwar Ibrahim.
Tidak syak lagi bahawa mereka yang mengetahui, mendapati kejadian yang menimpa Anwar adalah tindakan politik Barisan Nasional yang ingin mengekalkan kuasa. Lepaskan Anwar (sekurang-kurangnya, berilah hak ikat jamin) jika benar-benar beliau telahpun dilupai sebagai pemimpin yang disayangi rakyat.
Tidak semestinya orang ramai mempercayai apa yang disogokkan kepada mereka, bahkan oleh seluruh dunia, kerana persepsi yang membara di hati rakyat ialah sistem keadilan di Malaysia diperalatkan oleh BN bagi menjamin kekuasaan.
Kata Pak Lah jumlah yang sedikit yang menghadiri program dan demonstrasi mengenai Anwar adalah kerana rakyat telah lupa kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Apa yang sedang berlaku ialah mereka digertak dengan pelbagai cara supaya menjauhi program-program tersebut.
Pak Lah juga harus sedar bahawa Tuhan samasekali tidak akan lupa dengan apa yang telah menimpa Anwar. Dan lagi, suatu hari nanti, generasi akan datang akan mengkaji sejarah yang mencatatkan semua peristiwa Anwar dengan penghalusan yang setimpal.
Saya sendiri akan memastikan bahawa anak cucu cicit piut saya dan seterusnya akan mengetahui dan memahami sejarah hitam Malaysia ini. Kami tidak lupa dan tidak akan lupa!

