Terdapat peningkatan jumlah calon wanita yang terlibat di dalam pilihanraya 2004. Bilangan calon-calon wanita telah melebihi 80 orang pada keseluruhannya. Isu ini telah digunakan untuk menarik undi wanita yang terdiri dari 52 peratus dari jumlah pengundi.

Setiap parti telah menyatakan bahawa mereka telah menambah jumlah calon wanita bagi menunjukkan bahawa mereka prihatin terhadap isu wanita. Perkara ini adalah amat ketara terutamanya apabila liputan akhbar mengenai calon wanita adalah amat lebih teliti (detail) dan peribadi (personal) berbanding dengan calon lelaki.

Ia juga dapat memberi pengundi profil calon yang bertanding. Contohnya liputan ke atas lima wanita BN yang bertanding di Johor, mengenai Betty Chew yang bertanding di Melaka dan mengenai tiga calon wanita yang belum berkahwin.

Parti politik juga menyatakan bahawa penambahan calon wanita adalah kerana mereka berterimakasih dan mengharapkan undi wanita. Dengan penambahan calon wanita maka isu-isu wanita akan lebih diketengahkan. Calon Fong Kui Lun, Yong Dai Ying dan Tan Chew Mooi telah menggariskan perubahan yang akan dibawa yang dapat menarik undi wanita seperti isu pusat penjagaan anak, ibu tunggal dan masalah keganasan wanita.

Bagi menarik undi kaum lelaki, kenyataan-kenyataan bahawa wanita adalah layak untuk bertanding dan menjadi wakil rakyat telah dikeluarkan. Sekali lagi isu gender digunakan seolah-olah bagi meyakinkan pengundi lelaki bahawa nasib mereka masih akan terbela walaupun calon yang bertanding di kawasan mereka adalah wanita.

Setiap parti juga menyatakan bahawa undian wanita adalah amat dihargai dan setiap wanita haruslah menyokong parti yang boleh membawa dan menyokong hak-hak wanita.

Calon Barisan Nasional menyatakan bahawa kerajaan amat menitik-beratkan isu-isu kebajikan wanita (Datuk Dr Siti Zaharah), masalah wanita dianggap sebagai masalah negara dan bukan sebagai masalah aktivis (Datuk Seri Shahrizat) dan isu wanita juga merupakan isu seluruh masyarakat (Datuk Ng Yen Yen).

Walaubagaimanapun, hanya parti DAP (Fong Kui Lun) yang menyatakan bahawa mereka menyokong agenda wanita untuk perubahan yang telah digubah oleh persatuan bukan kerajaan (NGO) pada 1999. Calon dari parti lain telah tidak langsung menyentuh agenda tersebut.

Kenyataan-kenyataan ini hanya dikeluarkan oleh calon wanita sahaja dan bukan dari calon lelaki. Kami mendapati bahawa calon lelaki tidak memberikan kenyataan mengenai pendirian mereka terhadap isu wanita. Ternyata bahawa isu gender ada digunakan dalam kempen pilihanraya kali ini tetapi ia hanya dibawa oleh calon wanita dan tidak digunakan dengan meluas.