Sebagai pengundi bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, saya berasa amat kesal dengan sikap pihak berkuasa terhadap rakyat biasa seperti saya. Waktu datang ke pejabat pagi semalam, saya amat terperanjat apabila diberitahu rakan sepejabat bahawa pihak berkuasa telah mula memasang meter di tempat letak kenderaan di sekitar Bangsar Utama.
Lebih malang bagi penduduk dan pekerja di sekitar Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai ini, kerja-kerja memasang meter itu baru saja dimulakan pada hari Isnin lalu (22 Mac), sehari selepas Shahrizat memenangi semula kerusi parlimen tersebut.
Beberapa minggu sebelum pilihanraya umum lalu, ramai penduduk Bangsar Utama, Pangsapuri KTMB, Flat Seri Pahang dan sekitarnya mengeluh dan tidak dapat tidur lena disebabkan serangan nyamuk pada waktu malam.
Sepanjang waktu Shahrizat berkempen pada minggu lalu, serangan nyamuk semakin bertambah mungkin kerana kawasan Bangsar Utama semakin redup dengan banyaknya poster dan bendera digantung di sini-sana.
Kini saya mula menyedari bahawa pihak berkuasa hanya mahukan sokongan dan undi rakyat biasa seperti saya. Kini kami akan terus digigit nyamuk dan terpaksa pula membayar sewa letak kenderaan.
Inilah agaknya yang dikatakan jasa kepada rakyat. Wakil Rakyat senang lenang, yang diwakili tetap malang.
