Apa perlu perkataan Cina di sini?
Sejak setahun lalu, 'imej nasional' PAS ialah seperti yang diwakili oleh (presidennya) Abdul Hadi Awang dan (timbalannya) Hassan Shukri. Hanya segelintir rakyat sahaja yang 'selesa' dengan corak dan gaya kepimpinan kedua-dua tokoh ini.
Semenjak kematian Ustaz Fadzil Noor, Harakah tidak memberi publisiti langsung kepada aktiviti tokoh-tokoh yang bukan ulama, contohnya Husam Musa, Salehuddin Ayob, Mohamad Sabu, Syed Azman dan sebagainya.
Mukasurat Harakah ditumpukan kepada Abdul Hadi, Hassan Shukri, Harun Din, Azizan Razak, Hashim Jasin dan tokoh-tokoh yang berlatarbelakang pendidikan Timur Tengah.
Ulama PAS tidak memahami perkara seperti sensitiviti kaum, budaya agama, dan jantina. Sebagai contoh, dalam wawancara dengan Harakah , Hashim Jasin mengkritik Dr Masitah Ibrahim kerana 'bersalaman dengan 'lelaki Cina'.'Apa perlu perkataan 'Cina' di sini? Bukankah perkataan muhrim atau tidak itu, boleh menjelaskan segala-galanya?
Imej pemimpin PAS yang suka ditonjolkan oleh Harakah ialah berpakaian jubah, berkain pelikat, berserban tidak kira tempat dan masa. Sebagai mewakili negara berbilang kaum, kesesuaian pakaian pada tempatnya, patut diambilkira.
Pemimpin PAS lebih mementingkan kulit daripada isi. Walaupun masyarakat bukan Melayu/Muslim sudah mempunyai persefahaman dan dapat menerima 'realiti politik' iaitu perdana menteri adalah seorang Melayu-Islam, bagi PAS, ini tidak memadai.
Mereka mesti menyatakan juga pegangan mereka itu dengan keras dan tegas kepada orang bukan Melayu bahawa "perdana menteri mesti orang Islam! Kita akan ubah Perlembagaan bila menang!"
Akhlak pemimpin PAS, terutamanya ulama, adalah bercanggah dengan kod universal bagi kelakuan seorang pemimpin sebagai contoh, mempertikaikan keIslaman Dr Syed Husin Ali, mempersoalkan niat sembahyang Abdullah Ahmad Badawi. Ini sangat memalukan kerana ia tidak kena mengena dengan dasar korup kerajaan BN.
Akibat tidak faham 'kod pelakuan universal' untuk pemimpin, maka komen pemimpin PAS selalu menjadi luar biasa, contohnya menyifatkan (pemimpin DAP) Lim Kit Siang dan Karpal Singh sebagai 'ubat tamat tempoh.'
Penyertaan golongan profesional hanyalah sebagai 'window dressing' atau 'hiasan' sahaja. Golongan ini tidak boleh mengubah kelakuan dan tindakan tokoh-tokoh penting dalam PAS. Malahan, golongan profesional terpaksa mengikut gaya dan stail ustaz dan ulama dalam PAS jika hendak mendapat ruang.
Oleh itu, menuduh rakyat mengundi Umno kerana sogokan wang, sama juga dengan tuduhan Umno bahawa pegundi memilih PAS kerana janji ke syurga. Melabel mereka menolak PAS sebagai menolak agama, sama juga dengan Umno yang melabel pengundi PAS sebagai menolak pembangunan.
Apa yang kita lihat ialah PAS sedang mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Umno. Saya tidak kagum sedikit pun dengan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kehilangan kepercayaan saya kepada PAS tiada kena mengena dengan 'imej baru' Umno. Saya masih mual kepada Umno tetapi saya juga sedih dengan arah tuju PAS.

