Tidak semua Melayu mudah lupa
Saya merasa terpanggil untuk memberi ulasan mengenai pilihanraya umum kesebelas baru-baru ini. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah gagal memainkan peranannya sebagai sebuah badan yang bebas. Dan ini bukan pertama kali SPR gagal menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama.
Kita dapat melihat tekanan-tekanan terhadap parti pembangkang amat kuat sehingga ada pihak yang memberi menggelar SPR sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN).
Selepas kemenangan besar Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya lalu, SPR mengambil langkah membendung kemaraan BA dengan melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya.
Pasti ianya untuk mengekang kemaraan parti lawan kerana 650,000 pengundi baru yang tidak dapat mengundi pada pilihanraya lalu, kali ini akan berpeluang untuk mengundi. Umum sudah tahu bahawa majoriti pengundi tersebut adalah pro pembangkang.
Menjelang pilihanraya kesebelas, SPR telah memutuskan bahawa tiga pemimpin Keadilan tidak boleh bertanding kali ini kerana mereka telah didapati bersalah oleh mahkamah, walaupun kes mereka masih proses rayuan.
Adakah ini bukan bermotif politik? Tepuk dada tanya selera. SPR juga melarang pondok panas didirikan di kawasan berhampiran pusat pengundian dan semua pihak akur dengan keputusan ini. Saya mendapat tahu khabarnya BN telah menekan SPR supaya membenarkan pondok panas itu didirikan dan SPR akhirnya akur dengan kehendak BN itu.
Kalaulah parti-parti pembangkang yang memohon, rasa saya sampai mati hidup balik pun SPR tidak akan membenarkannya.
Selepas kekecohan berlaku pada hari pengundian dan semua pihak menuding jari terhadap SPR, barulah pengerusinya yang saya rasa patut meletak jawatan secara terhormat tanpa perlu memberi apa-apa alasan mencadangkan supaya ditubuhkan badan bebas untuk menyiasat punca kekecohan tersebut.
Selepas tiga minggu pilihanraya berlangsung, isu badan bebas inipun senyap dan saya berharap parti-parti pembangkang terus-menerus menekan SPR untuk menubuhkan badan bebas tersebut. Kepada SPR ... mungkin ada orang Melayu yang mudah lupa tetapi saya percaya majoriti orang Melayu tidak akan lupa akan perkara ini.

