Rakyat Malaysia menyaksikan, gejala 'kemalangan' sosial bertimpa-timpa menjangkiti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Bermula dengan wabak 'dadah' yang diseludup masuk ke kem-kem latihan, sikap berpuak-puak yang membawa kepada pergaduhan, perbuatan cabul yang akhirnya membawa kepada seks dan rogol dan baru-baru ini kes kematian.

PLKN yang dirancang secara tidak teliti dan tidak teratur telah menghasilkan natijah 'ekstrem' yang tidak mahu dilihat dan didengar oleh para ibu bapa. Wajarlah ada seramai 10,000 ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka menyertai Latihan Khidmat Negara.

Banyak pihak yang telah memberikan cadangan dan pandangan, namun pihak berwajib hanya membutakan mata dan memekakkan telinga. Najib (Razak) pernah menyebutkan bahawa takkan dengan masalah disiplin, program Khidmat Negara dibubarkan?

Modul PLKN yang di katakan di cedok dari modul-modul 'summer camp' di Amerika Syarikat, memang tidak mempunyai asas yang kukuh dapat meningkatkan jati diri para remaja. Ketidaksesuaian budaya dan moral, kini terbukti bahawa PLKN menjadi 'pincang' kerana dicelup dengan warna masyarakat yang berbeza.

Tidak adanya penekanan program 'ritual' secara moral dan agama, menjadi PLKN kosong dari segi roh. Pengisian fizikal dan suntikan semangat kebangsaan sahaja, tidak cukup untuk memberikan kekebalan kepada para remaja menghadapi gangguan rakan sebaya, termasuk gangguan seks yang datang dari jurulatih serta pengendali program sendiri.

Siapakah yang akan dipertanggungjawabkan atas kecederaan para pelatih akibat daripada pergaduhan? Pak Lah atau Najib? Dan siapakah yang akan dipertanggungjawabkan dengan kemungkinan kehilangan 'dara' seorang remaja perempuan, sama ada dengan sukarela ataupun di rogol, semasa menjalani latihan?

Mungkin menteri baru, Dr Abdullah Mat Zain akan menjawab persoalan hukum bagi pihak Muslim. Bayangkanlah, betapa para ibu bapa telah menjaga anak gadis mereka dari dua jari tapak, dididik, dipelihara, diberi pendidikan, moral dan agama, tidak dibenarkan bebas, kerana menjaga kesucian dan pegangan adat dan ugama Timur!

Dengan ikhlas hati dan penuh kepercayaan, menghantar anak gadis mereka menyertai PLKN kerana semangat patriotik ... tiba-tiba ... anak gadis mereka diraba, dicabul, dirogol?

Kecut perut hati kami sebagai ibu bapa apabila mendengar berita ada pergaduhan di kem PLKN. Tidak tidur malam kami sebagai ibu bapa apabila mendengar ada dadah yang diseludup masuk di kem-kem PKN. Resah dan gelisah hati kami, para ibu bapa apabila mendengar ada kes cabul, rogol dan kematian dalam 'kandang' yang dibina oleh kerajaan sendiri.