Fahami tuntutan BBPRU-11
Surat dari Marhaen, Tabik Ucapan Abdul Hadi Awang , merupakan satu rentetan reaksi rakyat terbanyak mengenai penolakan total PAS dan Barisan Alternatif (BA) terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Umno/Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.
Tindakan PAS dan BA menubuhkan Badan Bertindak Penyelewengan Pilihanraya Umum Ke-11 (BBPRU-11) bukanlah untuk mengulangi sejarah pedih Memali, sepertimana yang diulas oleh wartawan New Straits Times Brendan Pereira, atau sebagai titik tolak bermulanya kisah gerakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).
Ia juga bukan untuk memperjudikan keamanan di Malaysia sekarang, dengan mewujudkan suasana tidak tenteram sepanjang roadshow BBPRU-11 di seluruh negara. Malah, Yusoff Zaky Omar dalam rencananya 'PAS bagaikan pengebom berani mati' di Berita Harian turut memainkan nada yang sama.
Laporan media perdana mengenai ceramah pelancaran BBPRU-11 juga menunjukkan barah etika kewartawanan yang semakin membusuk di kalangan pengamal media kerajaan. Bacalah laporan akhbar New Straits Times : 'Those who voted for BN are against Islam', dan The Star: 'Hadi lashes out voters who chose Barisan government'.
Etika kewartawanan berhemah dalam media perdana semakin terhapus, dan yang tinggal hanya kepakaran membodek dan mengampu di tahap tertinggi serta perangai mencaci yang memualkan.
Seperti jawapan Zulkifli Sulong di dalam Harakahdaily : 'Menolak analogi PAS menanam benih gerakan militan', BBPRU-11 melalui roadshow tersebut mengajak rakyat menilai bagaimana SPR menguruskan pilihanraya yang lalu, mengajak rakyat merenung bagaimana perjalanan kempen parti politik bertanding.
Ia juga mengajak rakyat bersatu menentang semua bentuk penyalahgunaan jentera kerajaan oleh mana-mana parti, menentang kempen yang tidak demokratik, membantah sebarang keraguan dalam pengurusan pilihanraya dan akhirnya menuntut suruhanjaya bebas menjalankan siasatan terperinci terhadap aduan salahlaku dan penyelewangan dalam pilihanraya lalu.
Apa yang BBPRU-11 mahukan adalah ketelusan dan keadilan. Ketelusan keputusan pilihanraya, keadilan dan kesaksamaan kepada parti-parti bertanding. Apa yang PAS dan BA mahukan ialah suasana pilihanraya yang demokratik, perjalanan kempen yang seimbang dan tiada penyalahgunaan dan penyelewengan jentera kerajaan.
Kemenangan Umno/BN biarlah boleh diterima akal yang sempurna dan tiada ruang untuk dipertikaikan. Seperti yang disebut oleh Abdul Hadi Awang, biarlah menang secara jantan. Ini jelas kerana PAS pernah kalah lebih teruk dalam pilihanraya sebelum ini.
Namun inilah kali pertama BBPRU-11 diwujudkan dan inilah kali pertama PAS dan BA memboikot keputusan pilihanraya. Dan media perdana pun bermain lagi dengan ulasan membodek dan dangkal mereka dengan mengatakan bahawa PAS dan BA hanya memboikot keputusan pilihanraya di kawasan yang dimenangi Umno/BN sahaja.
Mereka seolah-seolah mahu menunjukkan bahawa ceteknya pemikiran pemimpin BA dan betapa opportunisnya mereka. PAS dan BA secara jelas menolak keseluruhan keputusan pilihanraya lalu dan menuntut diadakan siasatan terperinci oleh suruhanjaya bebas, serta bersedia untuk bertanding semula sekiranya diadakan pilihanraya sekali lagi, biarpun di kawasan yang dimenangi pembangkang.
Tetapi Pak Lah, tanpa berfikir panjang, telah menolak bulat-bulat cadangan ini, sekaligus menunjukkan tahap kejantanan BN yang semakin menipis. Betapa malangnya rakyat Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.