Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Antara isu terhangat hari ini yang menjadi bualan ramai adalah masalah yang melanda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program itu, yang dilaksanakan ini diharapkan akan dapat membentuk remaja kita dengan nilai-nilai patriotisme, bagaimanapun berhadapan dengan pelbagai masalah yang bukan sekadar masalah 'AWOL' pesertanya tetapi kian melarat sehingga berlakunya kes-kes jenayah yang tidak langsung diduga.

Sebagai rakyat, kita berhak mendapat penjelasan konkrit daripada penganjur dan menteri yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya Najib Abdul Razak. Keluh-kesah masyarakat terutamanya ibubapa, pemimpin masyarakat, aktivis sosial dan golongan mahasiswa tentang ketidaksempurnaan perjalanan program ini tidak bermakna mereka mengkritik dari sudut politik atau 'menyokong pembangkang'.

Tetapi ianya kerana program ini melibatkan 'pertaruhan besar' iaitu generasi muda kita. Maka pihak-pihak yang berkenaan perlulah menilai dengan rasional kritikan kami sebagai masyarakat yang prihatin.

Kecacatan program ini, sebahagian besarnya berpunca daripada perancangan bersifat ad hoc ketika berlaku peningkatan serius kes-kes juvana dan hilangnya patriotisme di kalangan remaja. Pendekatan holistik dan pandangan pelbagai pihak seperti golongan pendidik, tenaga akademik, NGO, pasukan keselamatan serta alim-ulama dan tokoh-tokoh pelbagai agama tidak boleh dipinggirkan.

Perbincangan dan perancangan teliti boleh dikatakan tidak berlaku berbanding 'canang' yang dipalu tentang PLKN. Memang betul, kerajaan perlu mengambil berat keruntuhan akhlak dan moral remaja kita tetapi langkah yang dibuat menerusi PLKN hanya menjadi bahan cemuhan ramai.

Beberapa minggu kebelakangan berlaku kejadian histeria di kampus UM melibatkan peserta-peserta PLKN. Di salah sebuah kolej penginapan, 27 peserta wanita dan lelaki diserang histeria secara beramai-ramai. Saya dimaklumkan bahawa mahasiswa yang sedang membuat persediaan bagi Minggu Haluansiswa sesi baru terpaksa 'turun padang' membantu mengawasi peserta-peserta ini.

Salah satu puncanya adalah kurangnya penekanan dan pengisian kerohanian para peserta terutamanya yang beragama Islam seperti solat tidak diambil berat, apatah lagi 'kebersihan' diri peserta yang terbabit.

Pemeriksaan mengejut di salah sebuah kolej penginapan lain pula mendapati terdapat peserta yang membawa senjata tajam seperti pisau dan tali pinggang berpaku/berduri bersama-sama mereka. Adakah senjata-senjata ini berkaitan dengan program ini?

Sudah tentu tidak. Kelibat para peserta yang menginap di UM dapat dilihat berpeleseran dan merayau-rayau di Mid Valley Megamall, walaupun kononnya mereka dikenakan disiplin ketat dan 'perintah berkurung' semasa program ini berlangsung.

Usah disalahkan para penyelia kolej dan mahasiswa yang terpaksa turun padang tersebut, mereka juga ada tanggungjawab lain di bidang akademik yang lebih utama. Lebih malang bangunan Persatuan Mahasiswa Istimewa UM yang menjadi sekretariat pelajar cacat digunakan sebagai bilik gerakan PLKN peringkat UM.

Pengetua kolej kediaman di mana bangunan berkenaan ditempatkan, sewenang-wenangnya menyalahgunakan bangunan tersebut tanpa pengetahuan dan notis kepada pelajar-pelajar kurang upaya ini.

Bayangkan komputer dari bangunan berkenan dibawa keluar sedangkan terdapat perisian-perisian sensitif seperti software Braille untuk pelajar cacat penglihatan dan kertas-kertas kerja akademik mereka yang disimpan di PC berkenaan. Bukankah ini perlakuan double standard?

Pada fikiran saya, pemikir dan perancang program ini lupa bahawa permasalahan terbesar adalah berkaitan dengan sistem pendidikan negara ini. Adakah sejak merdeka pada tahun 1957 sistem yang kita bangga-banggakan bertaraf dunia gagal melahirkan remaja yang terdidik akhlak dan keperibadiannya?

Najib yang pernah menjadi menteri belia dan sukan, menteri pelajaran dan kini menteri pertahanan, gagal melahirkan idea terbaik untuk anak bangsa kita. Beliau bertanggungjawab dengan pembangunan belia pada awal dekad 1990-an, kemudiannya dengan rombakan sistem pendidikan untuk 'lebih dinamis dan bertaraf antarabangsa' dan kini dilihat memodenkan Angkatan Tentera Malaysia ke milenium baru.

Beliau diberi peluang luas semasa di kementerian belia dan sukan dan kementerian pendidikan dahulu tetapi pada hemat saya idea yang dicetuskan adalah tidak elok serta tidak ikhlas menyebabkan parahnya permasalahan yang berlaku ini.

Najib kini perlu menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan ini dan bukan sekadar penyedap telinga seperti mengkaji semula program ini, atau mengambil tindakan undang-undang kepada peserta-peserta bermasalah.

Kami enggan mendengar penjelasan bersifat 'lepas tangan' sedemikian tetapi sila berikan sebab dan jalan penyelesaiannya atau sekurang-kurangnya memohon maaf daripada rakyat atas kegagalan yang berlaku.

Jika beliau berkeras untuk meneruskan program ini tanpa perubahan-perubahan yang perlu, lambat-laun seperti yang diramalkan oleh ramai orang, PLKN hanya akan terkubur menjadi bahan jenaka dengan para peserta yang pernah mengikuti PLKN menanggung 'trauma' kegagalan program ini.

Ingatan ini juga saya panjangkan kepada Kol Prof Fawzi Basri, Pengerusi Majlis PLKN; usah melatah dan sibuk menghukum 10,000 peserta yang gagal hadir ke program tersebut. Barangkali, ada hikmahya dan ibubapa 10,000 remaja ini boleh menarik nafas lega berbanding ribuan ibubapa yang sentiasa tidak tenteram dengan nasib anak-anak mereka yang mengikuti PLKN.

Buat para pembaca, marilah kita fikirkan nasib para peserta yang mengikuti PLKN jika program ini dibatalkan, apakah pembelaan untuk mereka ini? Sedangkan mereka pewaris negara ini, adakah kita mahu mempusakakan negara kita kepada remaja yang bermasalah?

Marilah kita jadikan PLKN sebagai iktibar dan pedoman bahawa tidak ada jalan singkat dalam soal pendidikan negara.

ADS