Gandingan simbiotik Khir-Khairi
Saya merujuk kepada berita Peluang Hishammuddin menang naib presiden cerah yang mengulas mengenai pemilihan Umno yang bakal diadakan sewaktu perhimpunan Agung parti itu tidak berapa lama lagi.
Apa yang menarik dalam ulasan Nash Rahman adalah mengenai pertemuan yang diatur oleh kedua-dua kem Ketua Pemuda Umno sekarang Hishammuddin Tun Hussein dengan kem Menteri Besar Selangor Khir Toyo.
Akhbar-akhbar sebelum ini melaporkan pertemuan antara kem Hisham dan Khir itu tidak menghasilkan apa-apa keputusan, berikutan kenyataan Hisham bahawa Khir sehingga kini belum menyatakan keputusan untuk bertanding.
Tetapi, cakap-cakap di lobi hotel termasuk di kalangan kuat kem Hisham menyatakan sebaliknya, iaitu pertemuan itu telah berjaya menghasilkan satu keputusan penting yang akan mencorakkan masa depan politik Umno.
Menurutnya, suatu barter trade telah dilakukan melalui pertemuan itu, di mana Khir menjanjikan sokongan seluruh bahagian Umno Selangor kepada Hisham apabila Hisham bertanding jawatan naib presiden.
Manakala kepada Khir Toyo pula, Hisham dikatakan menjanjikan sokongan padu pemuda bahagian seluruh negara yang setia kepadanya dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda nanti.
Dengan keputusan itulah, tidak pelik sekiranya pada hari Rabu lepas (iaitu sehari selepas pertemuan dua kem ini), Hisham terus membuat pengumuman 'menyerahkan kepada ahli-ahli pemuda untuk menentukan beliau bertanding atau tidak jawatan naib presiden'.
Ini adalah bahasa politik tersirat yang maksudnya 'saya dengan ini menyatakan kesediaan diri saya untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno akan datang'.
Bagaimana pula dengan Khir Toyo? Sudah menjadi pengetahuan umum di kalangan ahli politik bahawa hubungan antara Khir dan Perdana Menteri, Pak Lah kurang rapat. Oleh itu, Khir telah memilih orang yang sangat tepat sebagai gandingannya, iaitu Khairi Jamaluddin, Timbalan Ketua Setiausaha Sulit di pejabat Perdana Menteri yang juga menantu Pak Lah.
Gandingan simbiotik politik ini diharapkan akan mengeratkan hubungan Khir dan Pak Lah, di samping mempunyai pengaruh tersendiri kepada Khairi. Ramai yang menganggap Khairi sebagai antara aset Pemuda Umno yang paling berharga dan berpotensi untuk digilap.
Ramai juga mengharapkan Khairi mengikut jejak Aziz Sheikh Fadzir yang menjadi wakil rakyat di Kupang, Kedah. Menurut salah seorang ahli Pemuda Umno Rembau, Khairi sepatutnya dipilih sebagai calon Parlimen Rembau dalam pilihanraya yang lalu.
Menurutnya lagi, sayangnya Khairi tiada jawatan berhirarki tinggi dalam Pemuda yang membolehkan beliau dicalonkan sebagai calon parlimen.
Untuk itu, jawatan sebagai naib ketua Pemuda Umno akan membolehkan Khairi dicalonkan sebagai calon Parlimen Rembau dalam pilihan raya ke-12 nanti.
Gandingan Khir sebagai calon ketua Pemuda dan Khairi sebagai naib ketua pergerakan itu dilihat sebagai gandingan yang sangat padu untuk memenangi kedua-dua jawatan berkenaan. Walaupun gandingan ini dijangka tidak menghadapi banyak masalah untuk memenangi jawatan-jawatan tersebut, tetapi pertandingan dalam Pemuda Umno wajib berlaku.
Seperti juga dalam perkumpulan Wanita Umno, alangkah tidak seronoknya melihat di peringkat yang lebih terkebawah pun tidak berlaku pertandingan. Usah lagi bincang soal demokratik atau tidak. Khir dan Khairi perlukan pencabar. Ini juga akan memberi pengalaman berharga kepada Khairi khususnya sebagai orang baru yang terlibat dalam politiking sebenar dunia politik.
Dengan adanya pertandingan, maka beliau tidak lagi akan dicap sebagai ahli politik payung terjun, yang menaiki tangga-tangga politik dengan cara yang selamat dan dilindungi.
Namun begitu, untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda, Khairi juga wajib meletakkan jawatannya di pejabat Pak Lah. Biarlah Khairi bertanding sebagai anak jantan yang tidak menumpang pengaruh sesiapa.
Khairi bertanding sebagai Khairi Jamaludin, bukannya Timbalan Ketua Setiausaha Sulit ataupun menantu Pak Lah. Inilah peluang terbaik Khairi untuk melepaskan diri daripada bayang-bayang Pak Lah, sebagaimana kritikan banyak pihak.

