Hujah Astora, Farish mesti dijawab
Merujuk kepada tulisan Ulama bukan tongkat Musa oleh Fathi Aris Omar, saya sangat mengalu-alukan cadangan beliau supaya '... usaha penerangan atau perbahasan sentiasa perlu dibuat secara sungguh-sungguh melalui pelbagai pentas (termasuk akhbar) oleh golongan yang percayakan pendekatan agama, termasuk PAS, sebagai satu proses pertandingan idea dalam ruang awam'. Perlu diulang 'proses pertandingan idea dalam ruang awam'.
Akan tetapi di dalam dunia realiti, di manakah ruang sebegitu rupa wujud dalam media arus perdana yang sentiasa dikongkong pihak-pihak yang berkepentingan, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua tokoh ini berhujah. Yang kita baca hanya pendapat penulis-penulis yang hanya tahu mengkritik satu pihak manakala hanya mempunyai pujian bagi satu pihak yang lain.
Perbetulkan dahulu pentas bagi perbincangan yang bersifat ilmiah tersebut. Jika hanya satu pihak sahaja yang boleh berhujah (dan dibaca oleh pihak umum) manakala yang satu lagi hanya dapat manjawab di ceramah-ceramah kecil/kuliah atau terbitan yang dihadkan edarannya, bagaimana perbincangan tersebut dapat dikatakan bersifat adil dan benar-benar bernas.
Forum yang membincangkan hal-ehwal Islam turut menjadi alat politik satu pihak walaupun pihak-pihak ini sering melemparkan tuduhan kepada pihak yang lain. Biarlah cakap serupa bikin. Contoh terbaik sifat hipokrit golongan ini ialah apabila aktiviti-aktiviti bersifat politik kepartian sering diadakan di perkarangan sekolah, dewan orangramai, malahan surau-surau.
Sebagai orang Islam, kita mesti akur dengan perkara-perkara yang jelas qat'ie (pasti) tidak boleh diperbahaskan seperti kewajipan bertudung dan menutup aurat yang sering penulis-penulis seperti Astora Jabat dan Farish A Noor lakukan. Jika tiada peluang diberikan untuk menjawab hujah-hujah beliau yang sememangnya tersebar luas untuk bacaan umum (melalui Mingguan Malaysia atau al-Islam ), kita khuatir iman seseorang itu akan tergugat.
Maaf saya berkata di sini, memang patut (lebih awal lagi) kedua-dua mereka dihalang daripada membuat kenyataan kepada umum mengenai perkara-perkara tersebut kerana mereka sememangnya bukannya ahli agama, mahupun ahli ekonomi, sains, budaya atau teknologi.
Kesemua perkara tersebut ada disebut di dalam al-Quran, Hadis dan Seerah Rasulullah dan mereka sebenarnya layak bercakap berlandaskan sumber-sumber berikut, melainkan kita menafikan Rukun Iman seorang yang bergelar Islam iaitu kepercayaan kepada Allah, Rasul dan Kitab-kitabNya.

