Kebebasan akhbar memang perlu dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Melalui kebebasan akhbar rakyat dapat membuat penilaian terhadap sesuatu berita untuk kepentingan awam.

Pihak akhbar berperanan sebagai watch dog yang menjadi saluran untuk rakyat menilai prestasi kerajaan. Namun akhbar juga boleh bertukar peranan menjadi hound dog yang mampu menjejas keharmonian dan kestabilan masyarakat.

Laporan mengenai kes Noritta Shamuddin yang dipaparkan oleh beberapa akhbar utama menimbulkan beberapa persoalan. Ia melibatkan persoalan realiti sosial, nilai dan budaya masyarakat, mutu kewartawanan dan maruah.

Memang benar pandangan saudari Hafiza Ahmad dalam reaksi beliau bahawa tragedi Noritta menggambarkan realiti sosial. Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh masyarakat, khususnya Melayu Islam.

Walau bagaimanapun, realiti sosial adalah isu yang berbeza dengan paparan kes Noritta oleh akhbar. Paparan tersebut mengandungi laporan terperinci kejadian yang dikutip semasa perbicaraan dalam mahkamah.

Laporan tersebut membangkitkan isu tahap kewartawanan dan profesionalisma. Apakah ini menggambarkan standard kewartawanan yang profesional atau sub-standard ?

Saya tidak menafikan bahawa perbicaraan di mahkamah terbuka boleh dilaporkan oleh wartawan untuk kepentingan awam. Wartawan mempunyai budibicara untuk melaporkan isi dan bentuk fakta yang berlaku semasa perbicaraan. Tetapi wartawan juga mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang.

Tanggungjawab mereka bukan sekadar terhadap majikan, malah kepada umum. Oleh kerana impak laporan mereka memberi kesan kepada masyarakat umum, mereka perlu prihatin terhadap nilai dan budaya masyarakat yang terlibat, dalam hal ini Islam.

Mungkin wartawan tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan hal ini kerana date-line untuk berita. Bagi saya ini hanyalah alasan. Seharusnya tidak ada kompromi dalam amalan mutu kewartawanan yang tinggi.

Laporan berita tidak hanya untuk memenuhi ruangan akhbar. Ia juga bukan bertujuan untuk meningkatkan penjualan akhbar semata-mata. Akhbar yang bertanggungjawab perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Kebebasan yang akhbar perjuangankan bukanlah lesen untuk membolehkan mereka melampaui batas budaya dan nilai agama.

Akhbar dinilai bukan dari sudut kuantiti berita tetapi kualiti berita yang dilaporkan. Kualiti berita menggambarkan kematangan dan mutu kewartawanan wartawan, editor dan akhbar tersebut amnya.

Sebagai pembaca dan pelanggan akhbar yang beragama Islam, saya tersinggung dengan isi laporan tersebut. Jika inilah matlamat akhbar untuk mencetuskan reaksi pembaca, syabas saya ucapkan kerana mereka memang berjaya. Tetapi bagi saya mereka tidak mencapai apa-apa selain menggambarkan tahap kewartawanan yang rendah mutunya.

Akhbar mungkin boleh mengatakan ini adalah persoalan persepsi pembaca. Tetapi saya yakin saya tidak bersendirian dalam hal ini. Wartawan juga sewajarnya mengambil kira maruah keluarga yang terlibat yang terpaksa berdepan dengan masyarakat setempat.

Keharmonian mereka berkemungkinan besar terjejas kerana ahli keluarga mereka menjadi bahan bualan masyarakat.

Apatah lagi ia melibatkan aktiviti yang bertentangan dengan agama. Seharusnya kesan negatif sebegini perlu diminimumkan. Walaupun laporan tersebut adalah kebenaran tetapi dalam keadaan tertentu kebenaran membawa kepada kepiluan dan wajar disembunyikan.

Mutu kewartawanan adalah tanggungjawab berbagai pihak. Mungkin sudah tiba masanya organisasi seperti majlis media ( media council ) segera diwujudkan di Malaysia untuk memastikan tahap kewartawanan yang tinggi dan sebagai tempat di mana masyarakat dapat mengajukan bantahan.