Kebijaksanaan menilai laporan media
Saya merasa terpanggil untuk memberi reaksi terhadap tulisan saudara Umar Zain terhadap kebebasan memilih siaran Astro. Saya amat bersetuju dengan keputusan beliau yang memilih untuk melanggan saluran-saluran yang berbentuk ilmiah, juga pandangan beliau bahawa sedikit kawalan haruslah dikenakan agar rancangan benar-benar bermutu.
Seperti saudara Umar, saya juga meminati rancangan dokumentari di saluran-saluran satelit ini kerana ia berjaya mendidik sambil menghiburkan. Namun, saya dapati sedikit salah faham timbul setelah saudara menonton dokumentari Inside Mecca . Saudara menyatakan kagum melihat lelaki dan wanita bercampur-gaul ketika melakukan ibadat tawaf di Masjidil Haram.
Ini merupakan situasi istimewa yang hanya wujud di Masjidil Haram sahaja bagi membolehkan semua umat Islam (tidak kira lelaki dan wanita) melaksanakan ibadat tawaf. Ia tidak wujud di masjid lain di seluruh dunia kerana pertamanya, ibadat tawaf hanya dilakukan di Masjidil Haram, dan keduanya, pencampuran lelaki dan wanita ketika solat boleh mengganggu kekusyukan beribadat.
Di Masjidil Haram sekalipun berlaku pengasingan lelaki dan wanita ketika solat. Saya tidak terkejut rakan-rakan saudara tidak pernah menyebut hal ini walaupun ianya sudah sedia maklum bagi mereka yang mengerjakan haji atau umrah, juga bagi mereka yang belajar fiqh di sekolah menengah kebangsaan.
Percampuran lelaki dan wanita secara terkawal di dalam Islam dibenarkan bagi tujuan murni seperti menuntut ilmu. Ketika zaman Rasulullah s.a.w. ramai wanita berjumpa dengan baginda bagi mengemukakan persoalan agama.
Setelah Rasulullah s.a.w wafat, ramai sahabat dan orang ramai lelaki dan wanita berguru dengan isteri Rasulullah, Saidatina Aishah r.a. kerana beliau dianggap mempunyai pengetahuan ilmu yang mendalam.
Pergaulan lelaki dan wanita dalam hal ini tidak dilarang selagi adab Islam sekiranya perkara yang berkaitan dengan pergaulan dengan yang bukan mahram, ditepati. Menyebut soal pengasingan lelaki dan wanita di kaunter bayaran, selama saya tinggal di Terengganu ketika diperintahi kerajaan PAS, tidak pernah saya diarahkan beratur berasingan daripada pelanggan lain jantina.
Saya merasa takjub dengan sumber maklumat saudara yang menyatakan demikian. Berkenaan sikap keterbukaan sesetengah orang Arab: mereka sama seperti orang lain jua, ada yang rajin beribadat, dan ada pula yang leka dengan pengaruh tidak sihat sehingga mengetepikan agama.
Kita tidak perlu mengagungkan ataupun memburukkan orang Arab di dalam hal ini. Yang penting ialah yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Meskipun Astro merupakan sumber alternatif maklumat yang tidak dinafikan intinya lebih bermutu daripada media tempatan, setiap berita/pandangan haruslah diambil with a pinch of salt .
Mungkin saudara berpandangan jika warga Palestin sanggup menyeberangi sempadan demi mencari sesuap nasi di Israel, maka kesimpulannya ialah rakyat Palestin dan 'Israel' sebenarnya tidak bermusuhan!
Rakyat Palestin terpaksa bekerja di 'Israel' kerana tiada pilihan lain bagi mereka mencari rezeki. Manakan tidak,jika saban hari kem pelarian mereka (kerana dihalau keluar dari tanah tumpah darah sendiri akibat Perjanjian Balfour yang dirintis oleh Britain setelah tamat Perang Dunia Kedua) dibedil oleh pengganas tersusun militari Israel.
Terdapat banyak dokumentasi yang memperinci kezaliman tentera rejim Israel, contoh terbaru 40 warga Palestin ditembak mati oleh tentera rejim Israel ketika membantah secara aman pemotongan bekalan air dan elektrik oleh rejim tersebut.
Saya risau jika lebih ramai warga Malaysia bersikap permisif terhadap rejim Israel, nanti kita secara tidak langsung mengiktiraf taktik kotor yang digunakan bagi mengasaskan rejim tersebut, iaitu pengusiran keluar rakyat secara tersusun dan konsep 'bangsa terpilih' (menyamai Apartheid) yang digunakan rejim 'Israel' bagi mengukuhkan kuasanya di Palestin.
Meskipun media Barat mendukung prinsip kebebasan bersuara and adil di dalam melaporkan sesuatu kejadian berita, namun sebagai manusia biasa, para wartawan juga tidak dapat lari daripada sikap prangsangka yang dipengaruhi oleh pendidikan yang diterima serta polisi dalaman dan luar negara asal masing-masing.
Ini tidak bermakna bahawa saya bersetuju bahawa akses rakyat untuk memperolehi maklumat media luar harus disekat. Akan tetapi, kita sebagai warga Malaysia yang berfikir, tidak harus terlalu cepat menerima apa sahaja yang dilaporkan.
Setiap fakta yang kita terima haruslah disokong oleh sumber-sumber lain, contohnya laporan berita, artikel serta buku-buku yang ditulis oleh mereka yang pakar dan berwibawa di dalam bidang masing-masing.
Di sini, kebebasan Internet serta bahan bacaan di perpustakaan boleh dimanfaatkan. Dengan itu barulah kita dapat menilai yang benar dan yang batil di dalam membentuk pendapat dan pendirian masing-masing mengenai isu-isu semasa.

