Syabas kepada penerbit majalah internet yang telah mendapat perhatian golongan masyarakat dan kerajaan dalam mendedahkan isu isu kritikal yang sering diangap remeh. Malaysiakini berjaya mengimbangi gambaran yang indah dengan hakikat yang sebenarnya berlaku di depan mata di negara kita tercinta Malaysia .

Tidak dapat dinafikan, kita harus berbangga dengan kemajuan yang dapat dikecapi oleh semua bangsa, kelas masyarakat dan golongan tua muda.

Kami adalah golongan orang kurang upaya (OKU) yang dianggarkan 10 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia. Kira-kira 5 peratus dari 10 peratus tersebut adalah mereka yang cacat berkerusi roda disebabkan penyakit, kemalangan dan uzur, tetapi masih mampu menjalani kehidupan harian saperti bekerja dan membeli-belah seperti orang upaya.

Harus diingatkan, peratusan orang kurang upaya kian meningkat dari masa ke semasa dan ini tidak termasuk mereka yang datang ke Malaysia untuk melancong dan menghadiri mesyuarat.

Masalah kami yang ingin dikemuka di sini ialah kemudahan mengunakan mesin ATM dan kemudahan untuk memasuki pejabat-pejabat di institusi perbankan dan kewangan negara kita yang hampir 90 peratus daripadanya tidak mempunyai kemudahan asas untuk penguna yang berkerusi roda.

Selalunya, untuk mengunakan ATM kami yang berkerusi roda terpaksa mengharapkan bantuan pihak ketiga untuk urusan transaksi mengeluarkan wang dan sebagainya. Ini adalah disebabkan kedudukan kesemua ATM di bangunan-bangunan yang saya lihat di Lembah Klang yang serba canggih, tetapi mesin ATM itu terletak di tempat yang tidak dapat dicapai langsung orang yang berkerusi roda.

Kami dihalangi oleh tangga, pintu kaca dan paras monitor yang tinggi. Justeru itu, nombor pin ATM kami terpaksa didedahkan kepada pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami dan ini secara tidak langsung membuka ruang untuk penipuan walaupun kami sedar nomber pin adalah rahsia.

Apabila ingin berurusan di pejabat perbankan, masalah yang sama juga kami hadapi, bermula dari tempat letak kereta hinggalah ke pintu masuk pejabat, walaupun Akta Bangunan 1992 di bawah peruntukan 124A (1)(a) mewajibkan kemudahan disediakan untuk orang kurang upaya masuk, keluar dan bergerak di sekitar dalam bangunan.

Untuk maklumat yang lebih terperinci sila log in http://www2.jaring.my/pcdom/access.htm .

Kami berharap pihak malaysiakini memandang serius masalah yang dipaparkan di atas dan menyiarkan agar pihak yang bertangung jawab dapat melihat sendiri dan bertindak mengatasi kesulitan dan kemungkinan bahaya jenayah yang kami hadapi.

Adakalanya kami golongan kurang upaya yang berkerusi roda merasakan kami terperangkap di bumi asing.

Penulis adalah Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah Persekutuan.