Sediakan peluang sama bagi pelbagai kaum
Saya membaca ulasan David Lim , LCH , Dr G Walter dan Dr Siti Mariah Mahmud mengenai isu meritokrasi dan isu-isu lain yang berkaitan. Saya adalah seorang bumiputera yang mendapat manfaat dari Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tanpa dasar ini, tidak mungkin saya dari keluarga yang ramai yang hidup susah sebagai setinggan di Kuala Lumpur dapat belajar di luar negara.
Dengan bantuan kerajaan, saya sekarang berkhidmat di peringkat tertinggi di sebuah syarikat multinasional di Malaysia. Setelah mendapat faedah dari dasar ini, saya berpendapat ia patut diteruskan, tetapi dengan perubahan pada cara ia dilaksanakan.
Seorang rakan saya berketurunan Cina di sekolah dulu, tidak dapat meneruskan pengajian kerana keluarga yang susah seperti saya. Sekarang, beliau telah membuka perniagaan sendiri dan adalah seorang yang berjaya tetapi saya merasakan dia juga sepatutnya mendapat bantuan seperti saya.
Sewaktu belajar di luar negara, ramai penerima biasiswa yang saya kenali adalah mereka yang tidak patut menerimanya, antaranya anak menteri besar di sebuah negeri di pantai timur, anak para duta dan yang mereka memiliki perniagaan besar.
Ada tiga isu yang patut dibangkitkan: Pertama, bantuan kepada mereka yang memerlunya dan layak tanpa mengira bangsa dan agama; kedua, isu kepincangan di peringkat perlaksanaan, dan ketiga, isu kemahuan politik kerajaan untuk mengubah kepincangan yang ada.
Saya berpendapat bantuan sepatutnya diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dengan matlamat akhirnya untuk melihat mereka maju, mengubah nasib keluarga, dan menyumbang kepada negara.
Sistem yang memihak kepada bumiputera sahaja akan melemahkan mereka kerana anggapan akan terus menerima bantuan walaupun dengan usaha a la kadar sahaja. Dalam suasana terlindung dan persaingan yang dihadkan, sifat bersaing tidak menjadi amalan lazim pelajar bumiputera.
Ini juga menyebabkan bukan bumiputera memandang lekeh terhadap bumiputera di dunia pekerjaan yang saingannya lebih terbuka, terutama di syarikat multinasional. Apabila graduan bumiputera menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, amat jelas sikap, ketrampilan diri dan keyakinan diri mereka lebih kebelakang daripada bukan bumiputera.
Maka berterusanlah mitos bahawa bumiputera memang tidak boleh bersaing dan menjadi satu self-fulfilling prophecy . Persaingan tertutup menjadi satu sebab ramai bukan bumiputera memandang rendah keupayaan bumiputera, biarpun kadangkala ianya tidak adil. Sistem kuota yang dikatakan memihak kepada bumiputera akhirnya menyusahkan mereka apabila menjejak alam pekerjaan.
Dalam pada itu saya juga sependapat dengan Walter mengenai kesaksamaan peluang. Jadi, satu sistem yang mengambilkira latarbelakang sosioekonomi, patut difikirkan supaya kelebihan yang dinikmati keluarga berada di kota besar, boleh ditimbangtarakan dengan orang miskin jauh di pedalaman.
Jadi, satu sistem dengan kriteria yang jelas, patut diwujudkan dan dihebahkan kepada semua rakyat Malaysia supaya menjadi kayu pengukur yang akan digunakan untuk semua. Tetapi harus juga diingat bahawa apa juga sistem yang diperkenalkan, tidak mungkin memuaskan semua pihak kerana dasar manusia yang berbeza-beza pendapat tentang apa juga isu. Jadi, satu sistem yang dapat memuaskan kebanyakan pihak, harus diwujudkan.
Pada dasarnya, saya menyokong sistem meritokrasi di Malaysia. Dalam dunia global, kita perlu mengetengahkan rakyat yang terbaik dan paling layak untuk mengungguli bidang yang dipilih. Rakyat bumiputera seharusnya membuka minda dan menerima persaingan terbuka di bawah satu sistem yang jelas untuk semua.
Matlamat saya menyokong meritokrasi ialah saya percaya persaingan sihat negara akan lebih pantas maju ke hadapan. Saya juga percaya dengan pendedahan yang betul, sesiapa juga mampu berjaya - bumiputera atau bukan bumiputera.
Kaum bukan bumiputera pula harus mengubah dasar yang memandang lekeh terhadap bumiputera, terutama mereka yang membuktikan kebolehannya. Bacalah ruangan pekerjaan di akhbar The Star dan New Straits Times dan kirakan 'Mesti fasih berbahasa Mandarin' sebagai syarat.
Ia menjadi perkara yang menyakitkan mata jika jawatan yang mampu diisi sesiapa, dihadkan untuk kaum bukan bumiputera. Beberapa rakan saya di syarikat multinasional, ada diberikan kiasan bahawa mereka diambil bekerja hanya sekadar memenuhi syarat kouta sahaja.
Sistem pendidikan adalah satu lagi contoh kepincangan niat dan perlaksanaan. Di peringkat dasar, ia sepatutnya menjadi alat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Di peringkat perlaksanaan, ada berjenis-jenis sistem pendidikan yang akhirnya menjadikan polarisasi kaum lebih lebar.
Tanyakan diri anda tentang apa yang anda lakukan untuk menjadikan sistem yang ada, lebih baik. Apakah sumbangan anda untuk menyelesaikan perkara ini? Kepada semua rakyat Malaysia - bersama-sama, kita juga boleh menyelesaikannya.

