Tahniah kepada polis trafik KL
Saya merasa terpanggil untuk merakamkan tahniah dan penghargaan kepada pihak polis terutama pasukan polis trafik yang berjaya mempertingkatkan kelancaran trafik di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, melalui lebuhraya Grand Saga, Jalan Loke Yew, Jalan Kuching hingga ke pusat bandar.
Sejak akhir-akhir ini, saya dapat merasakan pihak polis begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan kelancaran lalulintas di jalan-jalan tersebut pada waktu pagi. Kesungguhan yang ditunjukkan ini, telah dapat mengubah perasaan marah sejak lima tahun lalu, kepada rasa hormat kepada sebuah pasukan yang menghadapi pelbagai risiko dalam menjalankan tugas mereka.
Sepanjang laluan yang dinyatakan tadi, saya dapat melihat pasukan polis bermotosikal bergerak ke sana ke mari bersama walkie talkie mereka bagi memastikan keselesaan pengguna yang menggunakan laluan tersebut pada waktu puncak. Waktu menunggu di beberapa persimpangan yang dikawal oleh anggota polis, juga semakin pendek, berbanding sebelum ini.
Kini, saya mulai berasa simpati kepada anggota-anggota polis trafik ini yang terpaksa berdiri di tengah jalan dan menghadapi risiko pencemaran asap kenderaan selama dua tiga jam sehari dalam memastikan keselesaan pengguna jalan raya.
Kepada pasukan polis, khasnya pasukan trafik yang mengawal laluan yang yang dinyatakan di atas, teruskanlah usaha murni anda.

