Terdapat beberapa akhbar berbahasa Inggeris dan Cina memanipulasi pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan landasan perkauman. Dukacita, permainan ini berjaya memerangkap pemimpin politik ke satu sudut sempit sehingga terjebak dalam membuat keputusan popular memberi tempat secara borong kepada 128 pelajar terbabit.

Adunan berita yang telah menjadikan keputusan tersohor markah CGPA 4.0 pelajar tersebut berjaya dijadikan smoke screen melatari agenda perkauman itu. Saya tidak akan memuji kejayaan mereka kerana saya kecewa dengan kegagalan pemimpin politik menghidu permainan bermuslihat ini.

Ironinya, permainan murahan ini mendapat habuan, hatta di luar jangkaan penjananya sendiri, apabila pembuat keputusan lebih selesa dengan penyelesaian mudah memberi tempat kepada semua pelajar tadi walaupun mereka mendapat A- (A tolak). Keputusan ini adalah tempelak kepada sistem meritokrasi yang diamalkan.

Mengapa keputusan awal tersebut tidak dipertahankan sahaja kerana ia telahpun dilaksanakan menurut meritokrasi. Ini adalah satu precedent yang buruk, seolah-olah benar apa yang dikatakan oleh akhbar bahasa Inggeris dan Cina itu bahawa Kementerian Pengajian Tinggi sengaja memanipulasi sistem pemilihan untuk menambah kemasukan pelajar Melayu ke IPTA.

Di kalangan kita, ada golongan yang tidak pernah puas dengan apa yang mereka perolehi. Makin diberi makin naik tocang. Kalau kita benar sayang kepada negara dan betul-betul mahu hidup berharmoni, jalinkanlah hubungan atas asas timbal balik ( reciprocal ).

Mana ada tempat yang harmoni di dunia ini kalau satu pihak perlu sentiasa memberi dan satu pihak lain sentiasa saja meminta. Dengan muslihat pula tu. Dahulu, sebagai mewarisi ketuanan Melayu dan hak-hak istimewa yang datang bersamanya, kita menggunakan sistem kuota berasaskan kaum. Tentulah dasar tersebut tidak didefinasikan sebagai 'perkauman'.

Namun atas sebab-sebab yang kita semua maklum, ianya dianjak kepada sistem meritokrasi pula. Maka, kecuali segolongan orang Melayu (mungkin kecil, mungkin besar), bergempitalah rakyat memuji langkah berwawasan ini.

Hari ini apabila segelintir kecil suatu golongan gagal mendapat tempat, ruang ini dilihat cukup untuk dieksploitasi sepenuhnya oleh golongan tertentu bagi mengkritik kepincangan perlaksanaan sistem meritokrasi pula. Agak menarik untuk kita tunggu dan melihat apa pula skrip tahun hadapan.

Mungkin semua akan senyap apabila suatu golongan lain pula menguasai kemasukan ke IPTA sebagaimana senyapnya sekarang, dengan majoriti besar kaum tertentu menguasai IPTS. Pemimpin politikpun akan senyum puas, bahawa mereka telah berjasa besar memberi nikmat keadilan kepada segenap rakyat. Berbaloilah setiap undi keramat rakyat meletak mereka di mana mereka berada sekarang.

Saya meminta Pemuda Umno peka dengan hati sanubari rakyat. Kelesuan Pemuda boleh melemahkan sendi-sendi rakyat. Jadikan era ini era anda. Di manakah jiwa Pemuda tanpa dipacu idealisme. Jadilah mata dan telinga kepada keresahan bangsa. Jangan menyesali diri bila sejarah bangsa mencerca kebisuan anda..

Cepatlah menyedari perubahan dan terimalah hakikat bahawa dalam suasana hari ini, anda diperlukan. Sampaikanlah desakan bangsa anda. Serahkanlah timbang-tara ( balancing act ) kepada pemimpin tertingi. Saya tidak meminta anda menjadi jaguh perkauman. Saya hanya meminta anda menjadi benteng orang Melayu.

Seperti anda, saya juga bukan chauvanist kaum. Saya hanya menyertai permainan yang dimulakan oleh orang lain.