Kempen kesedaran isu keamanan perlu sokongan
Baru-baru ini, Center For Peace Initiatve (Cenpeace) sebagai sebuah NGO Malaysia yang merupakan badan gabungan International Peace Bureau yang beribupejabat di Geneva, Switzerland telah melancarkan kempen tandatangan sempena Hari Antarabangsa Wanita untuk Keamanan dan Perlucutan Senjata yang juga dikenali sebagai International Women's Day For Peace and Disarmament.
Di perkarangan Masjid Jamek dan KLCC para sukarelawan Cenpeace sibuk 'menarik perhatian' para pengguna dan masyarakat awam untuk memberikan tandatangan sokongan kepada kempen tersebut.
Yang nyata, masyarakat mempunyai pelbagai sikap dan persepsi dalam hal ini. Ada yang memberikan kerjasama yang baik, ada yang 'sibuk' untuk ke sana ke mari atas urusan kerja, peribadi dan lain-lain termasuk 'melarikan diri' apabila didekati.
Melarikan diri kerana tidak mahu diganggu hidupnya atau takut diminta untuk menderma. Sedangkan proses tandatangan tangan hanya mengambil masa 2-3 minit sahaja.
Apapun, sumbangan yang sebegini kecil (kempen tandatangan) masih memerlukan pendidikan jangka panjang agar kesedaran yang mendalam timbul dan akhirnya bersedia untuk menyumbang mengikut keupayaan masing-masing. Ini kerana sering kali masyakat Malaysia menanggapi, sumbangan hanya kepada kewangan semata-mata.
Sedangkan, banyak cara lain untuk menyumbang sama ada tenaga, kemahiran kreativiti, teknikal serta masa. Orang masih belum melihat, bagaimana, seorang pemuzik boleh menyanyikan lagu-lagu harapan, keamanan serta anti-perang kepada kanak-kanak kecil di kem-kem pelarian di pelusuk dunia sebagai salah satu cara untuk menyumbang dalam proses keamanan.
Jika ada pun, mereka masih terikat dengan nilai komersialisasi dan publisiti dan bukannya 'turun ke lapangan' atas rasa kesedaran mendalam untuk menyumbang kenikmatan hidup yang ada kepada mereka yang memerlukan ...walaupun, mungkin sementara dan tidak seberapa.
Justeru itulah, proses pendidikan melalui pelbagai cara amat penting dan kritikal dewasa ini. Pendidikan tentang isu keamanan, anti-perang serta keganasan perlu dipupuk di kalangan masyarakat secara berterusan. Tidak cukup jika sekadar dipaparkan oleh media mengikut suasana semasa yang cukup pantas berubah dalam sekelip mata.
Kanak-kanak kecil, remaja, wanita muda, belia, orang dewasa dan tua perlu memahami isu keamanan, anti-perang dan keganasan adalah isu universal. Nilai moral semua agama tidak membenarkan manusia diperlakukan sesuka hati seperti binatang dalam apa jua keadaan yang berlaku.
Apa yang berlaku kepada Nirmala Bonat, pembantu rumah warga asing yang menjadi mangsa dera di negara ini dan kekejaman tentera Amerika terhadap tahanan Iraq di Penjara Abu Ghraib adalah sebahagian daripada 'watak-watak ganas' yang ada di dalam jiwa manusia.
Sama ada dalam atau luar negara bukan isunya. Yang jauh lebih penting semua ini menceritakan bahawa manusia sudah ketandusan kasih sayang terhadap manusia yang lain.
Peperangan ketenteraan yang berlaku di mana-mana pelusuk dunia, bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan segala perkara. Lucutkan senjata, sebarkan kasih sayang. Carilah usaha perdamaian, jalan tengah demi mencapai kemakmuran sejagat yang dimpikan oleh semua lapisan masyarakat dunia sama ada di Iraq, Palestin, Kashmir, Afghanistan dan lain-lain.
Marilah kita terus berkomited terhadap usaha-usaha keamanan di mana-mana. Semaikan kasih sayang, menjunjung prinsip keamanan, anti-keganasan serta anti-peperangan.

