Pilihanraya telah berlangsung pada bulan Mac dan semua sudah maklum akan keputusannya. Barisan Nasional (BN) menang besar tetapi kemenangan itu menimbulkan banyak keraguan dan dipersoalkan oleh ramai pihak.

Kekecohan pada hari mengundi, peratus keluar mengundi yang cukup tinggi di Kelantan dan Terengganu, logo parti silap dicetak adalah antara masalah-masalah yang timbul pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Rashid Abdul Rahman, telah dijadikan mangsa untuk melepaskan geram oleh banyak pihak, tidak kira dari parti pembangkang dan juga parti pemerintah dan beliau sendiri mengakui mengenai kekecohan yang timbul pada hari mengundi.

Bagi mengelakkan dari terus menjadi mangsa tekanan dari parti pembangkang, beliau dengan megahnya mengumumkan bersedia untuk menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat kekecohan-kekecohan tersebut.

Beliau juga mengumumkan bahawa ahli-ahli badan bebas tersebut akan terdiri dari pelbagai pihak termasuk dari parti pembangkang dan ini telah disambut baik oleh parti pembangkang.

Perdana menteri ketika ditanya tentang badan bebas ini, dengan selambanya menjawab apa perlunya badan bebas, rakyat telah memberi mandat yang besar kepadanya dan beliau tidak ada masa untuk mendengar semua isu remeh temeh ini.

Lupakah kita semasa beliau mula-mula memegang jawatan perdana menteri dulu, beliau pernah berkata 'kerja bersama-sama saya, bukannya bekerja untuk saya. Saya akan banteras rasuah sampai ke akar umbi'.

Saya sebagai rakyat biasa di negara tercinta ini ingin memberi nasihat kepada beliau, walaupun saya tahu beliau tidak akan mendengarnya, Tuan Perdana Menteri, jika tuan mahu membanteras rasuah, apa salahnya tuan menubuhkan satu badan bebas terhadap penyelewengan yang berlaku pada pilihanraya baru-baru ini.

Rakyat akan terus menyokong kepimpinan tuan jika tuan benar-benar ikhlas dengan apa yang tuan lafazkan.

Perdana menteri sekarang ini tidak sama dengan perdana menteri dulu. Kalau perdana menteri dulu, beliau akan menjawab balik apa-apa persoalan yang timbul oleh pihak pembangkang dan sering kedengaran jawapan-jawapan yang sinis darinya.

Tetapi perdana menteri sekarang lebih senang buat diam sahaja agar lama kelamaan isu tersebut akan senyap.

Saya berharap pihak pembangkang terus mendesak SPR supaya menubuhkan badan bebas yang dijanjikan selama ini. Tekanan-tekanan yang berterusan hendaklah dilangsungkan.