Saya fikir tiba masanya kita merenung sejenak perkembangan yang berlaku di negara kita kini. Sejak berakhirnya pilihanraya lalu, kita tidak dapat menafikan begitu banyak masalah yang timbul, sama ada dari segi politik hinggalah kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat umumnya.

Baru sahaja demam pilihanraya umum reda, kini kita disajikan pula dengan pertarungan merebut jawatan utama dalam Umno. Sudah bertahun-tahun apabila pemilihan Umno berlangsung, seluruh negara akan turut menerima implikasinya kerana Umno adalah teras kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Malah, mana-mana parti poltik sekalipun, hatta kelas sekolah rendah pun, akan memilih pemimpin apabila tiba masa atau timbul keperluannya.

Wajar saya katakan bahawa akan timbul manusia oportunis dalam pemilihan ini yang mengintai peluang mendapat jawatan yang akan menjadi pasport kepada kerjaya politik pada masa depan.

Saya percaya, tiada pihak mempersoalkan kelayakan Khairy Jamaluddin sebagai graduan dari Oxford tetapi apa yang membimbangkan, semakin ramai mereka yang menjadi pelobi secara senyap mempengaruhi dasar-dasar negara, bukan lagi terasuh dari sistem pentadbiran awam sedia ada.

Gawat sangatkah kemampuan para kakitangan sedia ada sehingga terpaksa mencari 'orang luar' sebagai think-tank?

Bagi saya, kakitangan awam cukup 'menderita' dengan pelbagai perubahan dasar, sistem dan segala jenis revolusi yang tidak tahu hujung pangkalnya. Jika berlaku lambakan sisa toksik, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan dipersalahkan. JAS juga terpaksa bersetuju dengan keputusan membina insinerator .

Siapakah berkuasa membuat dasar negara kita? Para kakitangan awam terikat dengan 'Berkhidmat untuk negara' dan 'Saya yang menurut perintah'. Mahu tidak mahu, mereka tetap menjalankan tugas seikhlas mungkin.

Siapa kisah kalau kemalangan menimpa mereka dalam perjalanan untuk bertugas dibandingkan dengan kehilangan orang besar dalam kemalangan udara?

Kadangkala, media membuat penilaian tidak adil terhadap kakitangan awam termasuk saya, yang menjadi sebahagian keluarga besar ini. Inilah nasib Perkhidmatan Awam kita. Kerana hanya kata-kata YB Menteri yang laku ada keramatnya.

Berbalik kepada isu Khairy tadi. Sudah tiada lagikah graduan keluaran universiti tempatan yang berkaliber dalam bidang-bidang keutamaan negara?

Masalahnya, terdapat para naib canselor universiti kita lebih menjaga periuk nasi daripada meningkatkan mutu akademik. Bayangkan kos mendaki puncak Everest dan projek-projek politik yang dijalankan.

Kalaulah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki infrastruktur, latihan dan sistem pendidikan di Institut Pengajian Tinggi kita, pasti berlambak dan bersepah graduan selayak dan jauh menandingi Khairy bukan?

Pada pendapat saya, telah tiba masa dasar-dasar negara diputuskan oleh mereka yang ahli dalam bidang berkenaan. Mungkin satu masa nanti, seseorang menteri perlu dilantik dari penjawat awam yang kanan, profesional dan pakar dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi, pertahanan dan sebagainya.

Mempunyai lebih ramai menteri tidak akan menjadikan pentadbiran negara kita lebih cekap kerana masing-masing ada agenda politik tersendiri. Bagi saya, portfolio tetap yang perlu wujud ialah pendidikan, ekonomi, kewangan, keselamatan, pertahanan, kebajikan, kesihatan, sains dan teknologi. Portfolio-portfolio ini akan dipanjangkan pula kepada agensi-agensi berkaitan di bawah setiap bidang berkenaan.

Inipun Khairy dan 'team' penasihat PM tak mampu fikirkan? Bayangkan pertukaran kepala surat jabatan pun telah melibatkan kos tinggi. Kos emolumen dan keistimewaan 34 lebih menteri boleh menampung ramai anak bangsa kita ke IPT untuk melahirkan lebih ramai graduan yang lebih baik.

Sahabat pembaca sekalian, marilah kita fikirkan dan renungi apa yang boleh kita lakukan, daripada bersorak menonton drama sepak terajang Umno. Bak kata pepatah lama 'menang sorak, kampung tergadai'.