MB Pahang perlu jawab tuduhan menipu
Lapan orang telah berjalan kaki sejauh 240 kilometer dari Kuala Lumpur ke Kuantan dalam usaha meraih perhatian dan sebagai tanda sokongan terhadap saranan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam usaha membanteras rasuah.
Mereka bermula dari rumah tol Gombak pada jam10.30 pagi 20 Jun lalu. Perjalanan yang mengambil masa selama lima hari itu berakhir pada 24 Jun. Perjalanan itu dikenali sebagai 'Perjalanan Anti Rasuah' .
Pada jam10.30 pagi 24 Jun lalu, ketua kumpulan pejalan kaki itu, Lee Sin telah membuat satu laporan polis terhadap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di balai polis Kuantan. Beliau telah membuat tiga pertuduhan terhadap YAB Menteri Besar.
Pertama, penipuan terhadap sebuah syarikat pembalakan (Seruan Gemilang Makmur), kedua, penyalahgunaan kuasa sebagai menteri besar dan ketiga rasuah.
Peristiwa-peristiwa ini telah mendapat liputan meluas dalam lima akhbar berbahasa Cina. Beberapa hari berikutnya, pada 29 Jun, YAB Menteri Besar telah memberi respon melalui akhbar Cina China Press.
Beliau meminta agar rakyat bertenang dan bersabar menunggu hasil siasatan pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap dua pertuduhan tetapi tidak memberi sebarang komen kepada pertuduhan berkaitan penipuan.
Sebagai anak Pahang yang prihatin, timbul persoalan kenapakah YAB Menteri Besar masih membisu dan tidak membuat sebarang ulasan mengenai isu tersebut. Hasil kajian menunjukkan, ini bukanlah kali pertama Lee Sin membuat tuduhan yang sedemikian. Beliau telah beberapa kali menuduh YAB Menteri Besar sebagai penipu melalui media massa.
Amatlah dipersetujui bahawa siasatan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah memerlukan masa agar ia dilakukan secara menyeluruh. Tetapi, tuduhan sebagai penipu adalah satu pertuduhan yang amat serius.
Tambahan pula pertuduhan ini ditujukan kepada ketua kepada sebuah kerajaan negeri. Ia melibatkan maruah YAB Menteri Besar khususnya, kerajaan negeri dan Umno Pahang amnya.
Apakah pandangan satu juta rakyat Pahang dan 23 juta rakyat Malaysia terhadap isu ini? Yang pasti, rakyat akan berpendapat Lee Sin berada di pihak yang benar kerana beliau begitu berani 'ibarat kucing' dan YAB Menteri Besar berada di pihak yang salah, kerana beliau takut 'ibarat tikus'. Jadi, layakkah beliau menjadi naib presiden Umno?
Pemikiran yang sedemikianlah yang akan sentiasa bermain-main di dalam fikiran rakyat Pahang dan ahli-ahli Umno jika perkara ini tidak diselesaikan dengan segera..
Dengan itu, adalah disarankan agar YAB Menteri Besar mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee Sin supaya segala kekeliruan/fitnah ini dapat dihuraikan/dihentikan, seterusnya memenjarakan pemfitnah ini jika pihak YAB Menteri Besar berada di pihak yang benar.

