Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Antara kejayaan kepimpinan Rasullullah SAW ialah berjaya melahirkan tindakan kewiraan yang aneh dari kalangan para sahabat. Dan mereka melaksanakannya bukan untuk diri baginda tetapi untuk Allah.

Rasulullah SAW membina kekuatan yang diperlukan demi kepentingan perjuangan meng-Esakan Allah swt, yang meliputi menegakkan kebenaran dan keadilan.   

Perjuangan baginda jelas dan mudah difahami tanpa kompleksiti percaturan yang celaru lagi mencelarukan sehingga menghapuskan kepercayaan yang diperlukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan idealisme sejagat yang begitu tinggi.

Beliau telah berjaya menghimpunkan kelompok besar para pejuang yang ikhlas dan menjadi sumber rahmah kepada sekelian alam.   

Setiap insan, haiwan, tumbuhan dan segala yang melata di udara, laut dan bumi, bahkan segala alam semesta berasa selamat dengan baginda yang mempunyai kedudukan di sisi Allah swt yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Kedudukan istimewa insan adalah amanah untuk melahirkan insan yang mampu bertindak sebagai wira aneh apabila situasi mengkehendakinya berbuat sedemikian.   

Dan bersama mereka, ada insan yang mendorongnya untuk berbuat perkara yang wajar. Kerana wira yang aneh memerlukan mereka yang memberi nasihat yang setara dengan keanehan kewiraan yang diperlukan berlaku - bukan merencatkannya.

Semuanya berdasarkan keikhlasan dan nilai yang mengangkat integriti, maruah serta kemuliaan insan. Keikhlasan bukanlah sesuatu yang selamanya tidak akan kelihatan di mata manusia. Allah memberikan kejelasan itu kepada sesiapa yang ingin mengetahuinya dan ingin mengetahuinya dengan ikhlas.   

Setiap insan yang celik akan merumuskan sesuatu dan membuat keputusan bersandarkan keikhlasan dan sejauh mana pendedahannya terhadap sesuatu itu. Selain itu adalah dimaafkan oleh Allah. Ketaqlikan adalah dilarang dalam tindakan.   

Semoga Allah sentiasa melindungi mereka yang ikhlas dan memelihara keikhlasan hatinya. Semoga Allah swt mewujudkan teman-teman seperjuangan yang ikhlas dan celik mengelilingi mereka yang ikhlas dan celik jua.   

Ia suatu persahabatan dalam perjuangan yang tidak memuja insan – the cult culture – seperti perjuangan Islam yang dicontohkan Rasulullah SAW vkepada para sahabat. Yang dipuja dan disembah hanyalah Allah swt.

Ia menjadikan insan merdeka, lagi menginginkan insan lain juga merdeka jiwa, mental dan hatinya – tidak mendominasi, tidak mendiskriminasi, tidak menzalimi, memperdaya dan memusnahkan kehidupan dan masa depan insan lain, keluarga dan kelompok yang tidak sekufu dengan pandangan dan pemikiran mereka.

Insan yang ikhlas akan menghendaki kebaikan yang dinikmatinya menjadi kebaikan yang berupaya juga dinikmati oleh orang lain. Ia ingin mengakar-umbikan budaya bekerjasama, bukan persaingan yang merosakkan, untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.   

Ia bukan suatu impian tetapi kenyataan sejarah yang boleh diulangi jika ada keazaman politik oleh insan-insan yang berkedudukan, yang beramanah untuk melaksanakan.   

Alternatifnya ialah kebangsatan sosio-ekonomi dan politik yang berleluasa, yang memporak-porandakan seluruh ruang lingkup kehidupan manusia dan masa depan kemanusiaan.


ROZAINI MR Penulis ialah seorang pengamat isu dan situasi Yang mengesani rakyat Malaysia dan ummat manusia.

Lihat Komen
ADS