Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan II Malaysia,  Idris Jusoh, bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia adalah setaraf dengan sistem-sistem di United Kingdom, Australia dan Negara Jerman.

Jelas sekali kenyataan tersebut dilakukan tanpa merujuk kepada penilaian yang digunakan untuk menetapkan taraf atau kualiti sesebuah universiti, tetapi hanya berdasarkan nombor serta data yang tidak teguh dan tidak didokong oleh penjelasan yang baik.

Kebolehan universiti tempatan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa sememangnya satu corak yang menggalakkan.

Namun begitu kita tidak seharusnya begitu cepat membandingkan universiti tempatan dengan universiti-universiti terulung dunia, kerana jurang di antara standard masih lagi begitu jelas seperti di dalam QS World Ranking.

Menteri tidak sepatutnya berasa angkuh dengan kedudukan universiti-universiti tempatan pada masa ini, namun ia sepatutnya menjadi dorongan untuk meningkatkan lagi kualiti yang sedia ada.

Jika benar universiti tempatan sudah mula meningkatkan kedudukan di dalam senarai antarabangsa, kita haruslah mencari jalan untuk mengekalkan perkembangan ini dan bukannya berpuas hati dengan pencapaian yang terhasil hanya di dalam satu tahun.

Perlu diingatkan bahawa Universiti Malaya juga pernah berkedudukan lebih tinggi di dalam senarai antarabangsa, namun begitu reputasi universiti tersebut terjejas akibat kurangnya komitmen untuk mengekalkan mutu tersebut.

Matlamat utama sistem pendidikan tinggi negara sepatutnya adalah untuk menghasilkan graduan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang semula kepada negara.

Oleh itu saya rasa adalah lebih baik jika kita tumpukan usaha untuk menarik minat pelajar-pelajar terbaik kita sendiri dengan meningkatkan lagi kualiti universiti tempatan dan membiarkan kualiti tersebut menjadi tarikan, daripada mendabik dada hanya kerana kita berjaya menarik sekumpulan pelajar antarabangsa ke Malaysia.


NIK NAZMI NIK AHMAD ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) merangkap exco pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi negeri Selangor.

Lihat Komen
ADS